Semarak Hubungan Dengan Pujian


KELEMAHAN komunikasi sering menjadi punca keretakan rumah tangga. Justeru, ketahui cara berkomunikasi yang baik penting untuk kukuhkan hubungan dengan pasangan. Ikuti kupasan mengenainya oleh Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam segmen Pesona D'Zahra di IKIMfm.

Perkataan yang baik adalah perkara penting dalam komunikasi. Perkara yang sering menjadi masalah dalam rumah tangga apabila perkataan yang baik sudah tidak wujud, komunikasi menjadi semakin dingin serta saling kata mengata.

Menerusi segmen Pesona D'Zahra, Ustaz Muhammad Abdullah alAmin berkongsi tip komunikasi yang baik yang disebutkan dalam al-Quran untuk memperbaiki hubungan kekeluargaan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Menolak peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar." (Surah al-Baqarah, ayat 263)

Menerusi ayat ini Allah SWT menyebut mengenai perkataan yang baik dan lawannya ialah perkara menyakitkan seperti bahasa sindiran.

Menurut Tafsir Jalalain, perkataan baik yang disebutkan ialah benda yang bagus didengar, menyambut atau menerima perkataan daripada orang dengan cantik dan baik. Perkara itu menyentuh aspek memberi dan menerima dalam komunikasi supaya hubungan bertambah baik.

Perkataan baik

Kebiasaannya, kita melihat ramai yang semakin hari cuba memperbaiki diri dari aspek penampilan. Malangnya, tidak ramai yang memperbaiki dalam perkataan dan percakapannya. Antara perkara penting dalam akhlak ialah perkataan dan percakapan yang bagus.

Terdapat tiga perkara penting mewujudkan perkataan yang bagus. Pertama, 'muda'abah' iaitu kata-kata yang peduli, ambil berat serta meraikan. Bagi mencipta atau mengeluarkan kata-kata ini, ia harus datang bersama niat.

Perkataan ambil berat ini sukar sekiranya dibuat-buat. Tidak akan wujud dalam diri perkataan baik jika tidak wujud rasa untuk memaafkan kesilapan dan kesalahan pasangan. Menurut Tafsir Jalalain, setiap perkataan baik yang diterima perlu dibalas dengan perkataan baik juga.

Bergurau senda

Baginda Nabi SAW bersabda: "Tidak ada daripada satu sedekah yang paling disukai dan dicintai oleh Allah SWT melainkan perkataan yang bagus. Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT yang bermaksud: Perkataan yang bagus dan sentiasa memaafkan. Maka itu lebih bagus di sisi Allah SWT."

Perkara kedua ialah 'mula'abah' yang bermaksud gurau senda dan berjenaka yang dilafazkan kepada pasangan. Kata-kata jenaka perlu sering dilafazkan supaya wujud dan lahir kemesraan antara pasangan.

Namun, perlu sentiasa berhati-hati menuturkan kata-kata gurauan dan jenaka kerana ia sering disalah anggap. Ada kala apa yang dituturkan pasangan dengan niat bergurau bersama pasangan disalah anggap hingga berlaku pergaduhan yang tidak diinginkan.

Dalam hal ini, mudah supaya kita dapat memaafkan dan bersangka baik dengan pasangan. Selain memaafkan, Islam menganjurkan kita mendoakan pasangan.

Beri pujian dengan ikhlas

Akhir sekali, perkara penting dalam mewujudkan perkataan bagus ialah pujian atau 'madah'. Pujian akan menggembirakan hati pasangan jika kita sering menuturkannya. Namun, ia menjadi sukar diluahkan jika ada kesilapan lama yang terbuku dalam hati.

Sentiasa bersihkan hati dengan memaafkan kesilapan dan kesalahan pasangan supaya mudah untuk kita melafazkan kata-kata berbentuk pujian. Terdapat pujian berbentuk umum dan khusus untuk pasangan.

Gunakan kata-kata pujian ini dengan ikhlas tanpa ada sebarang niat terselindung. Biasakan diri mencari dan melihat kebaikan pasangan berbanding kekurangan bagi memudah kita menuturkan kata-kata pujian dan yang positif.

Komunikasi adalah aspek penting untuk memastikan rumah tangga berkekalan hingga ke syurga. Jadikan perkataan yang baik sentiasa meniti di bibir kerana tidak akan rugi melafazkan kata-kata dan melakukan perkara baik.

Sumber: BH Online