SEREMBAN – Status ibu kota Negeri Sembilan ini dijangka menjadi bandar raya pada tahun depan hasil penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).
Ia disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sambil menjelaskan penggabungan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kini di peringkat akhir, akan menjadi entiti baharu iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini, ketika ini kerja ubah suai bangunan baharu di lokasi dengan keluasan 46,000 meter persegi yang terletak di Rahang, sedang dijalankan.
“Bangunan bakal dijadikan kompleks ibu pejabat operasi MBS itu terletak di kawasan strategik yang mempunyai ruang parkir agak luas untuk kemudahan orang ramai datang berurusan,” kata Mohamad lagi.
Bagaimanapun, kata beliau, pejabat untuk penyelenggaraan dan operasi PBT tersebut masih dikekalkan di beberapa lokasi lain seperti di Mantin dan Rantau bagi memudahkan urusan pelanggan yang tinggal jauh.
Pengisytiharan Seremban menjadikan bandar yang diwujudkan sejak 1840 itu dan kini memiliki hampir setengah juta penduduk, sebagai bandar raya ke-14 di Malaysia selepas paling baharu Iskandar Puteri di Johor bulan lalu.
Sementara itu Mohamad berkata, orang ramai yang mahu beli rumah di negeri ini, boleh melayari portal perumahan https://perumahan.ns.gov.my/ yang memberi peluang memilih rumah diingini dengan cara lebih mudah.
Beliau berkata, portal itu memaparkan pelbagai maklumat termasuk jenis rumah, harga, lokasi dan senarai pemaju, malah lebih menarik, katanya, portal itu hasil usaha sama kerajaan negeri dengan pemaju perumahan tempatan.
“Kaedah ini dapat bantu pembeli mendapatkan rumah diingini dengan mudah iaitu melayari portal, memilih rumah, berurusan dengan pemaju, seterusnya membayar bayaran tempahan sebelum memiliki rumah idaman,” katanya.
Portal berkenaan ujar Mohamad, turut memaparkan situasi terkini unit rumah yang sudah dan belum terjual termasuk kuota untuk pembeli Bumiputera. - Kedahnews.com