KUALA LUMPUR - Tiada kemungkinan bagi pekerja wanita sektor swasta yang hamil untuk turut sama menikmati kelebihan pulang awal seperti sektor kerajaan.
Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, langkah itu disifatkan kurang sesuai untuk diamalkan dalam sektor swasta memandangkan sistem pengurusan kerja bagi sektor kerajaan dan swasta amat berbeza.
"Buat masa ini ini, saya melihat ia (membenarkan pekerja wanita hamil pulang awal) sebagai sesuatu yang sukar untuk diamalkan dalam sektor swasta. Pengurusan kerja dan syarikat amat berbeza bagi kedua-dua sektor ini.
"Walaupun pekerja wanita itu hamil, dia tetap diperlukan untuk bekerja sepenuh masa mengikut waktu kerja normal, sehinggalah tiba masa untuk dia cuti bersalin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Shamsuddin juga melihat terdapatnya kebarangkalian untuk majikan lebih cenderung memilih pekerja lelaki di masa depan.
"Kita tidak boleh salahkan sesiapa jika ia berlaku kerana waktu bekerja banyak menyumbang kepada produktiviti. Jadi jika majikan lebih gemar memilih pekerja lelaki, ia bukan sesuatu yang mengejutkan.
"Amalan 'pilih kasih' seperti itulah yang paling kita takuti dan mahu cuba elakkan," ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan pelepasan itu boleh membawa kesan negatif kepada produktiviti pekerja terlibat.
"Dalam bekerja, prestasi kita banyak diukur oleh output atau hasil kerja. Jika akta ini dilaksanakan, terdapat kemungkinan output akan berkurangan, tetapi gaji tetap sama yang akan menyebabkan kos pengurusan semakin tinggi," tambahnya lagi.
Shamsuddin mengulas berkenaan penjawat awam lantikan tetap dan kontrak yang mengandung lima bulan dan ke atas dibenarkan pulang satu jam lebih awal daripada masa bekerja biasa bermula 1 Jan depan.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 itu ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, Jumaat lalu.
Sumber: Astro Awani