Sultan Kedah Rasmi Sambutan Ulang Tahun Langkawi Skycab


LANGKAWI – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-15 Langkawi Skycab, sistem kereta kabel yang menjadi antara tarikan utama pelancongan pulau berkenaan.

Baginda turut diiringi Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Skycab Langkawi dibuka secara rasminya pada 1 Nov 2002 selepas projek pembinaannya yang bermula pada April 2001 selesai dengan kos RM46 juta.

Sistem kereta kabel ini dibina berdasarkan rekaan dari syarikat Australia Doppelmayr, merangkumi lebih dua kilometer dari stesen utama di Oriental Village ke puncak gunung kedua tertinggi di pulau ini Gunung Machinchang, iaitu lebih 700 meter atas paras laut.

Perjalanan menaiki kereta kabel ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan panorama indah pulau ini dan bahagian selatan negara jiran iaitu Thailand.

Selain diisytiharkan sebagai kereta kabel paling curam di dunia, Langkawi SkyCab yang diuruskan oleh Panorama Langkawi Sdn Bhd juga disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘The Longest Free Span Mono-Cable’.

Pada Julai tahun ini sebuah laman web pelancongan antarabangsa Smartertravel menyifatkan ia sebagai antara 10 sistem kereta kabel terbaik dunia.

Selain itu, ia turut memenangi anugerah Malaysia Power Brand 2016/2017, Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Anugerah Tourism Langkawi 2014/2015 dan Sijil Kecemerlangan TripAdvisor.

Pengerusi Panorama Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad ketika berucap pada majlis sambutan itu berkata Langkawi SkyCab telah menarik kira-kira 11.5 juta pelancong sejak ia beroperasi.

“Daripada hanya 353,000 pengunjung pada 2002, jumlah itu meningkat setiap tahun dan hingga kini, 1.28 juta telah direkodkan,” katanya. – Bernama