Suspek Kes Culik Lahad Datu Ditembak Mati


KOTA KINABALU – Pasukan keselamatan menembak mati seorang lelaki, disyaki suspek kes culik di Lahad Datu, awal pagi tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, ketika mengesahkannya berkata, kejadian berlaku pada jam 3 pagi tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana satu sidang media berhubung kejadian itu akan diadakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din di ibu pejabat ESSCOM, jam 3 petang ini.

Difahamkan, ini kes pertama membabitkan suspek penculik ditembak mati di pantai timur Sabah pada tahun ini.

Sementara itu, BH difahamkan, suspek disyaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan.

Suspek ditembak mati di perairan Silam, Lahad Datu, dipercayai ketika cuba melakukan tinjauan di kawasan berkenaan bagi melakukan penculikan.

Pihak berkuasa juga menjalankan siasatan bagi mengenal pasti latar belakang suspek, termasuk hubungannya dengan kumpulan Abu Sayyaf, yang giat melakukan penculikan di perairan Filipina dan Sabah. 

Sumber – BH ONLINE