Susu Bayi Keluaran Syarikat LNS Lactalis Yang Dicemari Bakteria Salmonella Tidak Dijual Di Malaysia


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan meminta orang ramai supaya tidak bimbang dengan laporan berita antarabangsa France 24 baru-baru ini mengenai penarikan balik produk susu bayi yang dihasilkan oleh syarikat LNS Lactalis Group dari pasaran antarabangsa selepas dikesan dicemari bakteria salmonella.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd. Othman berkata, pihaknya telah mendapatkan pengesahan daripada Jaringan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Antarabangsa (Infosan) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kedutaan Perancis di Malaysia bahawa produk itu tidak dieksport ke negara ini.

“Berdasarkan maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia di bawah kementerian ini, tiada pengimportan bagi produk berkenaan ke Malaysia.

“Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, berkuat kuasa 11 Disember lalu, pihak kementerian telah mengenakan larangan import terhadap produk terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noraini, salmonella merupakan sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit-birit, deman dan kesakitan abdomen.

Katanya, dalam kes-kes tertentu boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan berisiko seperti bayi, orang tua dan seseorang yang mempunyai sistem imuniti rendah.

Sumber: Utusan Online