Tak Perlu Tunggu 2 Tahun Tunjuk Kemajuan - Khairy Jamaluddin


KUALA LUMPUR - Sepak takraw, angkat berat dan taekwondo tidak perlu mengambil masa sehingga dua tahun untuk menunjukkan kemajuan, sebaliknya mereka boleh mengubah nasib sendiri dalam tempoh sembilan bulan.

Selepas digugurkan daripada program sukan teras di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), Selasa lalu, ketiga-tiga sukan ini perlu bekerja keras bagi membuktikan mengapa mereka layak dimasukkan semula dalam program, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, pada ketika sukan lain mempunyai Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak dalam kalendar pembangunan, sepak takraw, angkat berat dan taekwondo pula diberi tempoh sehingga tamat temasya itu bagi menunjukkan peningkatan.

“Seperti saya kata...ada tempoh sembilan bulan lagi untuk mereka buktikan kepada kami. Jadi faham-fahamlah apa yang saya cakap itu.

“Tak payah buat (perubahan) sehingga mengambil masa sampai dua tahun.

“Kalau boleh (mereka) perlu membuat sesuatu sekarang. Kalau kita yakin, mana tahu (dapat masuk semula ke program sukan teras negara)?” katanya ketika menyaksikan separuh akhir bola sepak Piala SuperMokh di MSN, Bukit Jalil di sini hari ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail semalam memberitahu, ketiga-tiga sukan itu diberi tempoh dua tahun untuk membuktikan kemam­puan andai mahu dipertimbangkan bagi memasuki semula program sukan teras negara.

Ini bermakna tiga sukan itu harus berdikari tanpa bantuan MSN andai tidak mahu terus terkubur.

Pada Selasa lalu, Khairy mengumumkan sepak takraw, angkat berat dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras kerana pelbagai faktor antaranya prestasi buruk, kemelut dalaman, isu doping selain tidak menunjukkan peningkatan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, MSN akan duduk semeja dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Taekwondo Malaysia (TM) bagi merangka pelan pembangunan yang baharu.

“Persatuan sukan kemudian boleh setuju atau tidak untuk me­laksanakan pelan tersebut. MSN dengan kata mudah bukan mahu mengambil alih tetapi akan membantu mereka supaya sukan-sukan terbabit dapat bangkit semula. Itu yang kita mahu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Khairy menegaskan pengguguran tersebut merupakan satu isyarat jelas bahawa mereka perlu berubah mulai daripada sekarang.

“Ada yang mempertikaikan kenapa menghantar isyarat se­perti ini? Kalau (saya) tak buat, mereka takkan sedar. Sekarang barulah...‘Oh kita nak buat’,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online