LELAKI kerugian RM90,000 selepas terpedaya dengan individu menyamar pegawai bank dan polis yang dakwa kononnya dia ada tunggakan pinjaman.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam kejadian kelmarin, mangsa 44 tahun menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.
“Individu itu menyamar pegawai bank di Ipoh dan mendakwa mangsa ada tunggakan pinjaman RM3,376.
“Namun, mangsa manafikan. Tapi, individu itu kemudian memaklumkan dia akan menyambung panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya.
Menurutnya, talian telefon itu kemudian disambungkan kepada wanita mendakwa dirinya Sarjan Ang dan meminta mangsa membacakan nombor kad pengenalannya.
“Wanita itu kemudian memaklumkan nama mangsa tersenarai dalam orang dikehendaki kerana terbabit dalam urusan ‘mencuci’ wang bersama seorang lelaki.
“Namun pengadu menafikannya dan ‘anggota polis’ terbabit kemudian menyambungkan panggilan untuk pengadu bercakap dengan pegawainya dikenali Inspektor Yong.
“Lelaki yang konon pegawai itu kemudian mengugut mangsa dengan mengatakan dia boleh ditangkap dan ditahan dalam 45 hari,” katanya.
Shamsul Amar berkata: “Mangsa yang takut kemudian menyerahkan semua maklumat bagi membolehkan wangnya dipindahkan ke jabatan audit untuk semakan seperti didakwa ‘pegawai’ terbabit.
“Nombor pin rahsia yang diterimanya turut diberikan kepada ‘pegawai’ itu.
“Proses pindahan itu berlaku sembilan kali tanpa talian diputuskan. Kerugian RM90,000,” katanya.
Beliau berkata, ‘pegawai’ itu memaklumkan wang itu akan dikembalikan kepada pengadu, pada kira-kira 4 petang kelmarin.
Shamsul Amar berkata, pengadu hanya menyedari ditipu selepas berjumpa dengan jirannya yang juga anggota polis di bahagian komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
“Atas nasihat anggota itu pengadu membuat laporan polis. Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sumber: MyMetro