Tarikh PRU14 Tular: SPR Nafi, Sifatkan Tidak Munasabah, Usah Percaya


KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai tarikh-tarikh yang tular di media sosial berkenaan pembubaran Parlimen.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata tarikh-tarikh yang tular tersebut adalah tidak munasabah.

"Kononnya pembubaran Parlimen akan berlaku pada 11 Januari 2018, manakala penamaan calon pula pada 11 Mac dan hari pengundian ditetapkan pada 25 Mac 2018 adalah langsung tidak munasabah kerana tarikh pembubaran dan pengundian yang dinyatakan adalah melebihi tempoh 60 hari.

"Seperti mana yang dinyatakan di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa apabila Parlimen dibubarkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Tegasnya, hak untuk membubarkan Parlimen adalah di bawah perkenan Yang Di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Sumber – Astro Awani