Tauke Sah Bergelar Suami, Mohon Doakan Bahagia


SELEPAS Abam melangsungkan perkahwinannya semalam, hari ini giliran Tauke Jambu pula menempa alam rumah tangga bersama dengan isterinya, Nadia Mohd Affendi.

Tauke, 41,  dan Nadia, 28, telah dinikahkan pada pukul 12 tengah hari tadi dengan mas kahwin RM300 dan wang hantaran sebanyak RM30,000.

Pasangan tersebut telah dinikahkan oleh Jurunikah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) yang juga merupakan imam Masjid At Taqwa, TTDI, berwakil walikan bapa pengantin perempuan iaitu Mohd. Affendi Mohamad.

Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria, telah membawa lima dulang hantaran dan kemudian turut dibalas lima dulang oleh pihak perempuan.

Majlis yang berlangsung secara ringkas namun tetap meriah di De Laman Event, Shah Alam telah dihadiri oleh tetamu yang terdiri daripada sanak saudara dan rakan rapat pasangan pengantin.

Manakala, malam ini pula akan diadakan majlis resepsi di lokasi sama yang bertemakan fairy tale.

Alahai comelnya tema fairy tale. Tak sabar rasanya nak tengok majlis malam ni.

Untuk pengetahuan, ini merupakan perkahwinan Tauke untuk kali yang keempat dan dia turut meminta supaya para peminat mendoakan supaya jodohnya kali ini akan berkekalan.


Kedua-dua pasangan juga meluahkan rasa kesyukuran apabila majlis pernikahan itu telah berlangsung dengan lancar seperti yang mereka rancangkan.

Diharapkan semoga perkahwinan Tauke dan Nadia akan mendapat keberkatan Yang Maha Esa.

Tahniah diucapkan kepada Tauke dan juga Abam sekali lagi kerana telah berjaya membina masjid yang sudah lama diimpikan. - Kedahnews.com