Teknik ‘Couching’ Amat Bahaya Untuk Rawat Katarak


BALIK PULAU - Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan rawatan couching untuk merawat katarak, iaitu teknik menolak kanta mata ke dalam rongga vitreus yang dijalankan pihak tertentu dan kini tular di media sosial.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kaedah itu berbahaya dan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk glaukoma.

“Kalau tolak lensa mata tersebut, takut terkeluar daripada sarung dan akan menyebabkan macam-macam berlaku. Teknik (couching) ini datang dari mana?

“Selama 40 tahun saya dalam bidang perubatan, saya tak pernah dengar teknik ini tolak lensa (mata) ke dalam. Kita tidak boleh biarkan perkara ini, amat bahaya,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi amal bermotosikal dan bantuan keluarga miskin, semalam.

Baru-baru ini tular di Facebook mengenai iklan perkhidmatan rawatan mata yang dipercayai berpangkalan di Kuala Kurau, Perak, dan dijadualkan mengadakan siri jelajah selama tiga hari di Langkawi, Kedah, bermula 23 Disember ini.


Dr Hilmi menasihatkan pesakit yang mengalami masalah mata dan katarak supaya ke klinik  atau hospital yang diiktiraf bagi menerima rawatan lebih selamat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan semua jabatan kesihatan negeri memantau kegiatan tersebut agar tidak terus berleluasa.

Sementara itu, mengulas mengenai isu susu rumusan bayi tiruan, Dr Hilmi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada ibu bapa mengenai kesan kesihatan terhadap anak mereka yang meminum susu tiruan berkenaan. - Bernama