PETALING JAYA - Baru-baru ini tular di media sosial apabila pelajar sebuah universiti awam mendakwa dipaksa untuk menonton filem lakonan usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dengan bayaran tiket bernilai RM15.
Pelajar tersebut meluahkan rasa tidak puas hatinya menerusi 'Instastory' di Instagram tentang perkara itu kerana menganggap adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kehadiran dan markah yang diperolehi akan terjejas apabila dia dan pelajar lain tidak menonton filem itu kerana mendakwanya sebagai satu arahan.
Susulan kekecohan yang tercetus, Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr A. Razak Mohaideen berkata, pihaknya menafikan ada mengeluarkan arahan seumpama itu.
"Tiada arahan wajib yang dikeluarkan oleh Pejabat Dekat FiTA untuk membeli sebarang tiket aktiviti semasa penganjuran Minggu KaryaOne yang akan diadakan.
"Penjualan tiket yang berlaku adalah lebih kepada keperluan kursus-kursus filem dan pengedaran dan pemameran filem yang menjadikan penglibatan dan sebahagian penilaian pelajar-pelajar tersebut," katanya.
Beliau mengulas mengenai isu tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Filem arahan A. Razak yang berjudul Badang itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Fauzi Nawi dan Fareez Fauzi.
Jutawan kosmetik yang popular dengan gelaran 'Abang Terlajak Laris' ini memegang watak sebagai Badang dalam filem tersebut.
Tambah beliau, hanya tiga daripada 16 aktiviti di sepanjang Minggu KaryaOne 2017 melibatkan penjualan tiket demi menampung kos penganjuran keseluruhan aktiviti yang dirancang sempena acara tersebut sejak enam tahun lepas.
"Mungkin berlaku salah faham dalam kalangan pelajar dan pensyarah yang mengendalikan aktiviti tersebut.
"Namun fakulti menggalakkan pelajar-pelajar mengambil kursus lakonan, filem, pengurusan acara kreatif dan animasi imejan komputer yang dihasilkan (CGI) untuk membeli tiket aktiviti tersebut," jelasnya.
Semua aktiviti yang diatur didakwa bercorak akademik dan pendedahan kepada industri perniagaan persembahan terhadap pelajar di fakulti itu.
Bagaimanapun, netizen masih belum berpuas hati dengan penjelasan daripada A. Razak yang juga merupakan seorang pengarah filem terkenal di negara ini.
Adibah Amirah berkata: "Memang tiada arahan wajib di atas kertas. Tapi, selalunya di mulut, macam mana nak cari bukti kalau betul?"
Manakala Nor Shaz Rany pula berharap ada pihak yang dapat mengemukakan bukti untuk menafikan dakwaan yang dibuat oleh pelajar yang 'dipaksa' itu.
Sumber: Mstar Online