ALOR SETAR - Pengerusi Persatuan Tunas Usahawan Belia Utara (Petura), Ramlee Noordin memberi peringatan kepada semua pemohon Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) Mega 2018 agar memohon melalui agen mahupun pihak ketiga.
Hal ini kerana tiada agen mahupun orang ketiga yang dilantik bagi menguruskan proses permohonan masuk ke program itu.
Bagi yang ingin membuat permohonan, mereka boleh memohon melaluilaman sesawang disediakan dan penggunaan ejen adalah dilarang oleh pihak SME Corp Malaysia.
Jika pihaknya mengesan perkara tersebut berlaku maka penyertaan akan dibatalkan serta-merta dan geran bernilai RM15,000 akan ditarik balik.
“Saya mewakili Petura menyambut baik program dianjurkan kerana kami telah pun melaluinya dan mendapat manfaat yang baik, selain bersyukur kerana terpilih menjadi usahawan Tube.
“Bagaimanapun, kami nak ingatkan belia yang baru nak sertai agar tidak mengupah pihak ketiga atau guna ejen untuk daftar,” katanya.
Tube merupakan satu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan belia menceburi bidang perniagaan.
Kegiatan terlarang itu dikesan melalui pautan https://tube.smecorp.gov.my yang memaparkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengaku sebagai juru perunding atau ejen bagi pihak SME Corp Malaysia untuk pelaksanaan semua Program Pembangunan PKS.
Hakikatnya, tiada juru perunding dilantik dan tiada sebarang caj perkhidmatan bagi mana-mana program dikenakan.
Apa yang tersebar sebelum ini disifatkan sebagai satu dakwaan yang serius dan meleset sama sekali.
Tube direka khas bagi mempersiapkan belia yang mahu memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal, selain didedahkan dengan landskap serta cabaran dunia perniagaan sebenar.
“Ia dijalankan menerusi tiga fasa. Fasa pertama perlu mengikuti latihan asas ala ketenteraan berkonsepkan boot camp, fasa kedua didedahkan dengan landskap perniagaan selain mempelajari acumen perniagaan termasuk perakaunan, pemasaran dan perkhidmatan.
“Manakala bagi fasa ketiga adalah menjalankan perniagaan sepertimana dibentangkan menerusi Rancangan Perniagaan. Peserta juga dipantau selama 12 bulan melalui Sistem Buddy oleh kaunselor perniagaan bertujuan memastikan perniagaan Tubers berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Bagi belia berumur antara 18 hingga 30 tahun yang berminat dalam perniagaan boleh membuat permohonan secara atas talian bermula 18 Disember ini sehingga 12 Januari 2018 melalui laman sesawang yang tertera di atas. - Kedahnews.com