ALOR SETAR - Sebuah treler membawa kontena melebihi ketinggian tersangkut pada kabel elektrik menyebabkan kabel itu putus dan beberapa tiang elektrik tumbang di Jalan Langgar menghala ke Plaza Tol Lebuhraya PLUS Alor Setar arah utara pada Ahad.
Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari itu turut menyebabkan kesesakan sejauh 400 meter di kawasan berkenaan selain turut berlaku kesesakan di lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pemandu treler berusia 50-an itu dalam perjalanan dari Jalan Langgar menghala plaza tol terbabit namun sebaik tiba di lokasi kejadian, lorinya tersangkut kabel elektrik.
Jelasnya, kejadian tersebut mengakibatkan tiang elektrik tumbang dan kabel putus menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan terbabit.
“Anggota trafik kemudian membuat kawalan lalu lintas dan menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan susulan.
“Kejadian itu tidak membabitkan kecederaan mana-mana pihak dan hanya menyebabkan kerosakan harta awam,” katanya yang dipetik MyMetro.
Selain itu, anggota trafik yang bertugas turut membantu sebuah van yang rosak selepas Plaza Tol Alor Setar dengan menolaknya sejauh 200 meter ke tepi jalan untuk melancarkan kesesakan. - Kedahnews.com