ORANG kata melentur buluh biarlah dari rebungnya, perumpamaan itu sering digunakan untuk membentuk kanak-kanak yang masih kecil untuk menjadi individu berguna semasa sudah dewasa kelak.
Oleh itu, peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi anak-anak mereka amatlah besar dan tidak boleh diambil mudah.
Bagaimanapun, lain pula halnya dalam insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam sebuah video rakaman CCTV, seorang wanita dilihat bersekongkol dengan dua orang kanak-kanak untuk mencuri di sebuah kedai yang terletak di Sungai Petani, Kedah.
Pemilik butik yang terletak di Tesco Sungai Petani Selatan, Kedah itu menceritakan kejadian yang berlaku pada 21 Disember lalu di akaun Facebooknya.
Menurutnya, seorang wanita berkemungkinan warga Thailand yang berusia dalam lingkungan 30-an bersama seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki telah mencuri telefon pintar butik tersebut.
Pada mulanya, mereka bertiga berlegar-legar di sebuah kedai berhadapan butik tersebut sambil meninjau-ninjau ke kaunter.
Mereka kemudiannya masuk ke butik tersebut sebelum wanita itu didekati pekerja butik.
Sedang ralit pekerja itu melayan wanita tersebut, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat mendekati kaunter sebelum kanak-kanak lelaki mula mencapai telefon pintar yang terletak di kaunter berkenaan.
“Anak-anaknya mundar-mandir dari maknya ke kaunter banyak kali dan mereka seperti berbahasa Siam.
“Staf melayan mesra emaknya, anaknya buat kerja! Panjang tangan, mencuri,” tulisnya di Facebook.
Setelah ‘misi’nya untuk mencuri selesai, ketiga-tiganya dilihat beredar dari butik tersebut untuk menyelamatkan diri.
Tambah pemilik butik itu lagi, kejadian itu seperti telah dirancang terlebih dahulu.
Dalam pada itu, pemilik butik tersebut turut berpesan kepada mana-mana pihak yang terjumpa dengan tiga beranak itu untuk membawa mereka ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Sebagai ibu, wanita tersebut seharusnya menunjukkan contoh yang baik dan bukan mengajar perkara negatif yang boleh merosakkan akhlak anak-anaknya sendiri. Pelik sungguh perangainya!- Kedahnews.com