ALOR SETAR - Banjir di kawasan Kampung Lapangan Terbang, Kepala Batas sejak Khamis lalu sudah mulai surut sejak jam 6 petang kelmarin.
Hasil tinjauan di kawasan berkenaan mendapati hampir 13 rumah digenangi bah akibat limpahan Sungai Kedah semakin pulih, namun, kesan lumpur masih dapat dilihat di sekitar kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Amieze Azhar, 25, berkata, limpahan air sungai di sebelah rumahnya pada Khamis lalu bertakung dan memenuhi segenap ruang di kawasan rumahnya.
“Hujan tanpa henti pada sebelah siang menyebabkan aliran air sungai semakin meningkat dan saya menjangkakan bahawa banjir pasti akan berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Telahan saya betul apabila pada malamnya, air sungai di sebelah rumah melimpah sehingga masuk ke dalam rumah.
“Mujur disebabkan kawasan ini kerap banjir, kami sudah menyusun perabot di tempat selamat,” katanya seperti dilaporkan MyMetro.
Tambahnya, dia difahamkan pelepasan air dari Empangan Pedu, Kuala Nerang juga telah menyebabkan peningkatan air sungai sehingga ia melimpah melepasi tebing di kampung itu.
“Sudah tujuh kali kawasan ini dinaiki air dan banjir ini juga adalah rentetan dari banjir yang melanda kawasan ini pada September lalu,” ujarnya semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lapangan Terbang, Ahmad Taib, 63, berkata, banjir itu menyebabkan 46 mangsa ditempatkan pusat pemindahan sementara (PPS) Bukit Pinang iaitu di Surau As-Syakirin di kampung itu.
“Kerjasama penduduk kampung sangat baik apabila sebaik mendapati rumah mereka sudah dinaiki air mereka terus berpindah di PPS ini,” katanya. -Kedahnews.com