TV Alhijrah Diiktiraf TV Islam Terbaik Asia


TV Alhijrah membanggakan negara!

Semalam, stesen TV gaya hidup Islam itu menerima pengiktirafan berkelas antarabangsa berikutan pencapaian cemerlang jenamanya di pentas Asia.

TV Alhijrah diumumkan penerima anugerah berprestij Asia Halal Brand Award (AHBA) bagi kategori Anugerah TV Islam Terbaik Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Dato’ Haji Izelan Basar menerima anugerah berprestij itu pada majlis yang berlangsung di hotel terkemuka di ibu negara.

“Alhamdullilah, ini usaha kolektif wargakerja TV Alhijrah sepanjang dua tahun ini, demi memastikan TV Alhijrah kekal relevan dan berdaya kompetatif,” katanya.

Menurut Izelan, anuegerah ini membuktikan, jenama Islam yang berpaksikan konsep patuh syariah, mampu mencapai reputasi dan prestij global.


“Kemenangan ini memacu jenama Islam di Malaysia untuk menembusi pasaran Asia. Malah, membuktikan konsep patuh syariah bukan kekangan dan bukan stigma bagi penilai jenama bertaraf dunia,” kata Izelan.

Izelan turut menyatakan, anugerah ini melihat secara dinamik prestasi TV Alhijrah sepanjang 2017. Kejayaan AHBA berkait rapat dengan prestasi luar biasa berikutan peningkatan 30 peratus tontonan di saluran Islam itu.

“Lebih 70 peratus penonton kami wanita. Malah, kami turut menguasai angka tontonan yang baik bagi segmen pelajar,” katanya.

Menurut Izelan, rating TV Alhijrah turut stabil dalam penguasaan tontonan Subuh dan awal pagi. Ini menjadikan jenama stesen Islam nmbor satu itu, sebagai wadah pembuka minda umat Islam di negara ini.

“Kami meletakkan penghayatan kandungan Islam sebagai Addin pada siaran awal pagi. Ia mendidik nilai akhlak dan pembangunan minda umat Islam dengan menjadikan stesen kami sebagai pencetus aspirasi memulakan kehidupan harian,” katanya.

Justeru, kata Izelan, AHBA satu pengiktirafan juri yang menghargai usaha tersebut sebagai agenda dakwah pembangunan modal insan, selain mengekalkan konsep patuh syariah berdasarkan syariat Islam.

TV Alhijrah pada 2016 muncul dengan tagline Islam Is First Class yang berjaya menjentik minat penonton untuk mendekati dan menghayati program yang ditawarkan stesen berkenaan.

Tahun ini, tagline Rapatkan Saf pula diperkenalkan dan mula meniti dibibir penonton setia selain berjaya mencipta trending yang luar biasa di media sosial.

Penguasaan penonton dan peningkatan rating turut memacu nilai komersil bagi pengiklanan di TV Alhijrah. Pendapatan stesen Islam itu melonjak lebih 150 peratus pada 2016 berbanding tahun sebelumnya

“Ini fakta yang membuktikan keyakinan pengiklan terhadap kredibiliti TV Alhijrah sebagai saluran TV gaya hidup Islam yang dipercayai. Sebagai stesen Islamik, apa saja produk yang disiarkan di TV Alhijrah perlulah patuh syariah dan halal.”

Izelan berharap agar sokongan penonton terhadap TV Alhijrah akan berterusan dan sekaligus memacu stesen itu sebagai empayar kandungan dan pengiklanan Islam terunggul. -Kedahnews.com