TV AlHijrah Stesen Pertama Lafaz Ikrar Bebas Rasuah


MENYEDARI bahaya ancaman rasuah sebagai musuh Islam dan negara, stesen televisyen penerima Anugerah Saluran Islam Terbaik Asia, TV AlHijrah melaksanakan ikrar bebas rasuah semalam.

Majlis ikrar dan lafaz bebas rasuah itu disertai lebih 200 penjawat TV AlHijrah dan diadakan di AlHijrah Big Studio (ABS) Cyberjaya. Sesi ikrar dipimpin Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izelan Basar.

Sesi ikrar itu disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil yang hadir bersama 13 pegawai kanan agensi berkenaan.

Selain lafaz ikrar, beliau turut menyampaikan amanat tertutup mengenai ancaman, bahaya dan perkembangan kes-kes rasuah yang disiasat oleh pihak SPRM.

Sesi itu mencatat sejarah kerana TV AlHijrah menjadi pelopor bagi pembabitan agensi penyiaran dalam kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dengan fokus utama untuk menanam semangat dan iltizam penjawat untuk berjuang memastikan tiada rasuah dalam amalan profesional.

“Kami mahu memastikan sebagai stesen Islam, kami menyokong agenda menentang rasuah yang kini antara elemen yang wajar dibasmikan demi kemasyhalatan ummah,” kata Izelan.

TV AlHijrah pada Jumaat lalu menerima pengiktirafan Asia Halal Brand Award (AHBA) sebagai antara 40 jenama terbaik dalam industri halal di seluruh Asia.

“Ikrar bebas rasuah mengukuhkan lagi jenama kami di pasaran. Malah, satu usaha menerapkan intergriti profesional yang sejajar dengan syiar Islam,” kata Izelan.

SPRM melancarkan kempen ini sejak tahun lalu dengan fokus penyertaan semua kementerian, jabatan dan agensi dengan pembabitan penjawat awam sebagai fokus utama kempen pencegahan rasuah. - Kedahnews.com