Umat Islam Dinasihat Semak Status Pengelola Umrah Di i-Umrah


ALOR SETAR - Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) menasihatkan seluruh umat Islam supaya menyemak maklumat status agensi pengelola umrah melalui portal i-Umrah jabatan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran.

Hal ini bagi bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Ketua pengarah jabatan itu Ahmad Musadad Sulaiman berkata, tindakan itu sebagai satu langkah membendung masalah penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa terutama sekali melibatkan ramai mangsa dari golongan kurang berkemampuan.

"Portal itu menyediakan maklumat seperti senarai agensi pengelola umrah yang sah, boleh dilayari melalui laman web http://intranet.jawhar.gov.my/umrah/index.php,", katanya selepas merasmikan Program Jawhar “Bersama Santuni Masyarakat” di Kampung Pondok Chegar semalam.

i-Umrah ialah portal dibangunkan khas bagi menyalurkan maklumat agensi pengelola umrah yang sah sebagai rujukan dan panduan kepada bakal jemaah umrah negara ini.

Secara dasarnya, portal ini menyediakan maklumat seperti senarai agensi pengelola umrah yang sah bagi menguruskan perjalanan jemaah umrah Malaysia dan butiran mengenai syarikat pengelola umrah seperti nama syarikat, nombor telefon dan faksimili.

Ahmad Musadad mendedahkan statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia merekodkan kerugian berkaitan penipuan umrah lebih RM21 juta membabitkan 3,482 kes dari 2012 hingga Oktober tahun lepas.

Beliau tidak menolak kemungkinan kebanyakan kes penipuan itu berlaku disebabkan sikap jemaah mahukan pakej terlalu murah tanpa menyelidiki latar belakang sesuatu syarikat tersebut.

“Kerajaan sudah menetapkan harga lantai bagi pakej umrah sebanyak RM4,900 dan mana-mana harga lebih rendah daripada itu meragukan dan tidak boleh dipercayai.

“Berhati-hatilah dalam pembelian pakej umrah dan kalau ditawarkan bawah harga lantai RM4,900, siasat dahulu… kalau rasa ragu-ragu pilihlah syarikat dan agensi yang terbukti berwibawa dalam urusan berkaitan umrah agar urusan berkaitan visa berjalan lancar,” katanya.

Mengulas lanjut, umat Islam perlu bijak untuk menilai dan juga perlu berurusan dengan ejen pelancongan berdaftar serta berlesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi pengendalian umrah agar tidak mudah tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, seramai 500 asnaf fakir miskin dan pelajar sekolah di daerah Pendang menerima bantuan berupa barangan keperluan dapur, wang zakat serta pakaian seragam sekolah pada majlis itu. - Kedahnews.com