SEMAKIN ramai artis yang peka dengan misi kemanusiaan dan turut melibatkan diri dengan kerja-kerja amal di luar negara.
Kumpulan nasyid UNIC juga tidak melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan iaitu Muslim Care Malaysia.
Baru-baru ini, mereka telah ke Turki untuk memberikan bantuan kepada pelarian Syria di sana.
Namun, tanpa diduga, mereka telah ditahan pihak berkuasa kerana disyaki memasuki negara bergolak Syria sceara haram.
Kumpulan yang terkenal dengan lagu Ainul Mardhiah itu hari ini berkongsi pengalaman cemas ketika ditahan di sana.
Menurut Fakhrul, mereka ditahan ketika perjalanan pulang ke Istanbul selepas menghantar bantuan di Hatay.
Tindakan tersebut diambil pihak berkuasa di sana kerana menyangkakan stabilizer yang dibawa mereka adalah senjata. Tambahan pula mereka bergerak secara berkumpulan.
“Pelbagai soalan diajukan kami selain diperiksa secara terperinci oleh pihak polis. Terus-terang saya katakan memang rasa ‘cuak’ dan hanya terbayang wajah ahli keluarga sahaja.
“Tetapi mujurlah tiada benda buruk yang berlaku. Alhamdulillah, selepas diperiksa selama lima jam, kami dilepaskan,” katanya dipetik Astro Gempak.
Tambah Bazli, ketika tempoh penahanan itu, mereka perlu melalui prosedur biasa pemeriksaan dan dilayan dengan kasar kerana budaya mereka sememangnya sebegitu. Tetapi, syukur mereka dibebaskan dengan selamat.
“Ketika ditahan, seperti biasa kami diperiksa dan dliayan kasar oleh mereka tapi saya tidak hairan kerana itu memang budaya di sana.
“Bagaimanapun kami tidak di apa-apakan, cuma itu adalah prosedur biasa untuk mereka membuat pemeriksaan dan menyiasat dengan pelbagai soalan,” katanya.
Sementara Najdi pula menyatakan keluarganya terlalu risaukan keadaan mereka sehingga tidak boleh tidur ketika tersebarnya berita penahanan mereka.
Tambahan pula, pengurusan UNIC mengumumkan tiada perkembangan yang diperoleh walaupun sudah tiga jam ditahan.
“Ahli keluarga kami yang dapat tahu kami ditahan di sana, semua berasa bimbang dan bersedih.
“Sehinggakan ibu saya tidak dapat tidur malam kerana fikirkan tentang saya. Tapi apa-apa pun kami bersyukur kerana semuanya selamat,” ujarnya.
Bagaimanapun, syukur mereka telah pun selamat pulang ke tanah air selepas dua hari kejadian itu.
Khabarnya, mereka akan ke Turki pada Januari depan untuk misi seterusnya. Semoga perjalanan misi itu nanti dipermudahkan. –Kedahnews.com