JOHOR BARU — Urat jari hantu seorang peneroka putus manakala tulang jari yang sama sebelah kiri patah digigit seekor kera awal bulan ini.
Insiden 11 pagi itu menyebabkan Abdul Hamid Wahab, 59, menerima 30 jahitan, ekoran memberi buah betik kepada sekumpulan kera di belakang rumahnya.
Katanya, kumpulan haiwan itu sering datang ke rumahnya di Felda Simpang Waha, namun dia tidak menyangka salah seekor menggigitnya, lapor Metro.
“Secara tiba-tiba seekor kera melompat dan menyerang saya lalu menggigit kedua-dua jari mungkin kerana mahu saya melepaskan betik kepadanya,” katanya.
Dia, yang mengerang kesakitan, dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, yang sehingga kini masih menerima rawatan.
Abdul Hamid, yang panik tidak pernah diserang sebelum ini, ditahan di wad selama dua minggu. Hingga kini, dia merasai bisa dan sakit ketika menggerakkannya.
Lelaki itu mengakui dia memerlukan masa yang lama untuk pulih sepenuhnya malah perlu rehat yang cukup bagi mengelak kecederaan lebih serius.
Sumber: Suara TV