Usah Pandang Mudah Liga Perdana - Sathianathan


KUALA LUMPUR - Sekalipun FELDA United akan beraksi dalam Liga Perdana pada musim depan namun jurulatihnya, B Sathianathan menuntut anak buahnya memperagakan kualiti Liga Super dalam persembahan mereka kelak.

Malah, beliau mengingatkan pemain agar tidak sambil lewa dalam menghadapi pasukan liga kelas kedua itu.

"Pemain kena ingat, walaupun akan bermain dalam Liga Perdana tapi mereka memiliki kualiti pasukan Liga Super kerana FELDA United 'diturunkan bukan secara merit' tapi hanya kerana masalah teknikal.

"Jadi, pemain perlu kekalkan semangat Liga Super dalam diri mereka serta bermain seolah-olah mereka dalam liga utama itu walaupun hakikatnya mereka beraksi dalam Liga Perdana," kata Sathia.

Jurulatih itu berkata, walaupun pemain sudah dapat menerima nasib yang menimpa pasukan itu namun beliau bimbang timbul pula sindrom pemain memandang remeh saingan dalam Liga Perdana.

"Saya bimbang mereka mengambil mudah kerana menganggap pasukan yang dihadapi kelak tidak setaraf FELDA United. Jika pemain bersikap begini, kami akan menerima padah.

"Ia sekali gus akan merencatkan matlamat kami mahu kembali ke Liga Super pada 2019 kerana saya memang memasang tekad FELDA hanya akan bermain semusim sahaja dalam Liga Perdana.

"Sasaran FELDA United musim depan adalah menjuarai Liga Perdana dan kami mahu memenangi salah satu piala sama ada Piala FA atau Piala Malaysia," katanya.

Kebimbangan Sathia itu ada asasnya apabila beliau mengimbas kembali kekalahan 1-3 FELDA United kepada PKNP FC pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia musim ini sebelum bangkit dengan kemenangan 4-1 dalam perlawanan kedua.

"Perlawanan itu patut dijadikan iktibar oleh pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan Liga Perdana. Jangan ingat pasukan berstatus begini tidak pandai main bola," kata Sathia.

Beliau berkata walaupun semangat pasukan agak terencat seketika semasa diturunkan ke Liga Perdana namun kini persiapan berjalan seperti biasa dengan kehadiran muka baharu, Thiago Junior Aquino (Perak), Gilberto Valdenesio Fortuno (PKNP), Syamim Yahya dan Christie Jeyaseelan (Pahang) mampu memantapkan pasukan.

Di samping itu pemain seperti Shukor Adan, Wan Zack Haikal, Thiago Augusto Fernandes dan Farizal Haron pula kekal sebagai tonggak.

Sumber: BH Online