KUALA LUMPUR - Teringat detik awal kemunculannya setiap kali melihat Aiman Tino beraksi, penyanyi Tomok menurunkan petua kepada pelantun lagu Ku Hanya Sayang Padamu itu untuk bertahan lama.
Tomok yang mencipta nama dengan kumpulan Newboyz memberitahu, Aiman perlu kuat semangat menerima kecaman terutama daripada netizen.
"Aiman mengingatkan saya kepada zaman saya baru bertapak. Apabila melihat dia, saya nampak diri saya yang dulu. Gaya nyanyiannya juga sama ketika saya bersama-sama Newboyz.
"Ketika itu, saya juga tidak henti-henti dikritik," katanya kepada BH Online.
Tomok berkata, Aiman perlu terus berusaha menjadi penyanyi yang baik kerana memiliki bakat yang boleh membawanya pergi jauh.
"Kita tak mahu penyanyi muda sekarang hanya timbul dengan satu atau dua lagu, kemudian hilang.
"Sebagai penyanyi senior, kita harus memberi semangat kepada generasi pelapis dan terus menyokong antara satu sama lain," kata bekas juara program realiti televisyen (TV), One In A Million (OIAM) musim ketiga ini.
Dalam perkembangan lain, bapa kepada dua anak iaitu Arrian Shah Akid dan Andra Shah Iman memberitahu, sebagai penutup 2017, dia menghadiahkan single berjudul Menanti Di Sini kepada peminat.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail teruja tampil dengan single genre balada hasil ciptaan Zul 2 By 2.
"Sudah lama saya tidak merakam lagu balada. Lagu Menanti Di Sini bagai melepaskan kerinduan saya.
"Selama ini, balada dekat dengan jiwa saya. Apabila mendapat lagu ciptaan Zul 2 By 2 ini, saya terus tertarik. Lantas, saya fikir mengapa tidak merakamkannya," katanya.
Tomok berharap single itu mendapat sambutan peminat sempena kedatangan tahun baharu 2018.
"Jika saya melancarkan single ini awal tahun depan, pasti saya perlu bersaing dengan ramai penyanyi lain," katanya.
Single Menanti Di Sini mula dimuat naik dalam semua platform digital, hari ini. Muzik video lirik lagu ini dimuat naik di laman YouTube Monkey Bone, malam tadi.
Kali terakhir Tomok menghasilkan single ialah pada Jun lalu, iaitu lagu Cinta Yang Paling Sempurna hasil kerjasama dengan Monoloque.
Sumber: BH Online