KUALA LUMPUR - Pada usia enam bulan, anak aktor Shaheizy Sam, iaitu Syeriv Samheizy sudah bergelar Instafamous, apabila meraih hampir 400,000 pengikut.
Putera kesayangan Sam dan isterinya, Syatilla Melvin ini pantas menambat hati netizen dengan keletah dan wajah comel dalam akaun bergambar dan video Instagram.
Tidak hairanlah, akaun Instagram @syerivsamheizy mengumpul peminat baharu yang mahu mengikuti perkembangan dan kehidupan hariannya.
Syeriv pantas meraih populariti sama seperti anak selebriti, antaranya Yusuf Iskandar, Aaisyah Dhia Rana, Lara Alana dan Noah Ismail Wong.
Bertanya Sam mengenai tumpuan netizen terhadap anaknya itu, bintang Pinjamkan Hatiku itu memberitahu, perkara itu bukanlah masalah besar, malah tidak menghalang jika Syeriv mengikuti jejak sebagai insan seni.
"Istilah terlalu terdedah atau 'over exposed' itu bersifat subjektif. Mungkin dilahirkan dalam keluarga seni, mahu atau tidak, anak saya perlu melaluinya.
"Saya lihat semua ini memudahkan dia jika mahu memilih kerjaya dalam dunia komersial. Saya restu jika dia nak jadi apa sekalipun apabila besar nanti, termasuklah artis.
"Cuma saya akan mengajarnya, nak jadi apa sekalipun, tak boleh main-main. Kena fokus dan betul-betul. Kita tak tahu, nanti zamannya apabila sudah besar akan jadi lain dan barangkali, lebih mencabar daripada apa yang dilalui saya dan ibunya," katanya yang sedang rancak melunaskan baki penggambaran filem Polis Evo 2 ketika ini.
Tambah Sam, kewujudan Instagram untuk Syeriv itu sebenarnya lebih kepada menjadikan akaun media sosial itu diari yang memaparkan setiap rutin harian si kecil.
"Kalau ada yang lihat saya buat Instagram untuk anak itu secara langsung mendedahkan dirinya kepada dunia komersial, mungkin hanya persepsi. Tapi, sebab pertama saya wujudkan akaun itu untuk mendokumentasi perjalanan hidupnya dari kecil hingga dewasa.
"Saya akan gembira kalau ibu bapa saya sendiri buat benda yang sama. Tapi, zaman dulu macam mana pula. Secara tak langsung, apa yang dikongsi di laman itu menjadi bukti kepada anak bagaimana kami menjaganya. Ia boleh jadi rangsangan kepadanya apabila besar nanti menjaga ibu bapanya pula.
"Memandangkan dia anak selebriti, jadi apa yang dimuat naik barangkali akan difikir bersifat komersial," katanya.
Sumber: BH Online