Usul Masjid WP Diangkat Sebagai ‘Kembar’ Al-Aqsa


KUALA LUMPUR – Sebagai tanda perpaduan dengan rakyat Palestin, Masjid Wilayah Persekutuan dengan rasminya diiktiraf sebagai “masjid angkat” Masjidil Aqsa di Palestin – lokasi ketiga paling suci dalam Islam.

Langkah itu menyusuli tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada minggu lalu, lapor laman New Straits Times (NST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata inisiatif itu menekankan sokongan yang diperlukan oleh rakyat Palestin daripada umat Muslim, untuk menolak perisytiharan Presiden Donald Trump ke atas Baitulmaqdis pada 6 Disember.

“Pengumuman yang dibuat oleh Trump itu menyalahi dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kami pada awalnya mahu mengumumkan Masjid Wilayah sebagai masjid kembar kepada Masjidil Aqsa namun memandangkan kedudukannya begitu tinggi berbanding masjid kita, kami menamakan Masjid Wilayah sebagai masjid sokongan kepada masjid ketiga paling suci dalam Islam,” kata beliau.

Berucap kepada para wartawan semasa Forum Antarabangsa MyAqsa berhubung Perisytiharan Balfour yang ke-100 tahun,Jamil Khir berkata pengiktirafan Masjid Wilayah sebagai masjid kembar kepada Masjidil Aqsa akan menarik perhatian kepada perlunya mencapai keadilan bagi penduduk Palestin.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menghadiri beberapa sesi antarabangsa untuk menekankan suara-suara rakyat Malaysia dan masyarakat Islam dalam memastikan keputusan Trump ditolak bulat-bulat.

“Masjid yang kami sokong ini memerlukan bantuan kita sekarang.

“Jika kita boleh bercakap tentang Rohingya, rakyat Syria, Libya, Yaman dan Mesir, apa lagi masjid ketiga paling suci dalam Islam?

“Saya berharap dengan forum-forum seperti ini, kesedaran mengenai isu ini tersebar (luas) dan kami boleh terus bersatu untuk mencapai kebebasan bagi Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis,” tambah Jamil Khir.

Dalam satu jawapan bertulis kepada MyAqsa, Ketua Imam Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri berkata beliau mengalu-alukan keputusan untuk mengiktiraf Masjid Wilayah sebagai masjid yang menyokong Masjidil Aqsa.

“Saya menghargai dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang begitu prihatin,” kata beliau.

Sumber – Agensi