UTC Seluruh Negara Tutup Tiga Hari Sempena Perayaan Krismas 2017


KUALA LUMPUR – Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara akan ditutup sementara dari 23 hingga 25 Disember ini bersempena sambutan Hari Krismas 2017.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media yang disebarkan kepada pihak media semalam.

“Sempena sambutan Hari Krismas 2017, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara bersetuju agar semua UTC ditutup pada 23 Disember 2017 (Sabtu) hingga 25 Disember 2017 (Isnin),” kata kenyataan itu.

Menurut Kementerian Kewangan, semua UTC akan beroperasi semula pada 26 Disember 2017 iaitu pada hari Selasa.

UTC merupakan pusat perkhidmatan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dibawah satu bumbung yang diwujudkan untuk kemudahan rakyat.

UTC yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi perkhidmatan kepada lebih 54 juta pengunjung sejak tahun 2013.

Setakat ini, cuma Malaysia menyediakan perkhidmatan itu untuk rakyatnya dan tiada negara lain mengambil inisiatif sedemikian. –Kedahnews.com