Video Aziz Laikar Tak Gambar Keadaan Sebenar Klia2


KETUA komunikasi AirAsia Berhad, Aziz Laikar baru-baru ini menyiarkan sebuah video melalui media sosial yang didakwa menggambarkan penumpang penerbangan AirAsia duduk di lantai klia2 oleh kerana kekurangan kerusi.

Dia juga juga telah memuat naik satu lagi video yang menunjukkan sebuah walkalator yang tidak boleh digunakan kerana sedang rosak dan berpendapat bahawa situasi tersebut tidak melayakkan nilai cukai lapangan terbang diselaraskan dengan KLIA.

Dalam keinginannya untuk mengkritik MAHB, Aziz seolah-olah telah membesar-besarkan situasi sebenar. Hal ini amat jelas dilihat menerusi salah komen yang dibalas di dalam entri Facebook Aziz itu.

Menurut Ayu Jamli, yang mengucapkan terima kasih kepada Aziz atas ‘maklum balasnya’ mengenai kemudahan di klia2 itu, travelator yang dimaksudkan itu terletak di pintu P15 dan sudah pun dibaiki pada jam 9 pagi kelmarin (Rabu).


Mengenai dakwaan Aziz terhadap masalah kekurangan kerusi dan ruang santai (lounge) ditutup, Ayu menjelaskan bahawa mereka (mungkin pihak MAHB), “berbesar hati untuk membukanya lebih awal demi keselesaan penumpang, namun pihak AirAsia sendiri yang memilih untuk menutup lounge tersebut sehingga krew (penerbangan AirAsia) tiba.”

Ayu juga mencadangkan agar Aziz memaklumkan pasukan operasinya untuk membuka lebih awal ruangan santai itu kepada para penumpang, seperti yang dicadangkan berulang kali kepada AirAsia semasa mesyuarat pengendalian penumpang tetap mereka.

Selain itu, Aziz juga mendakwa penumpang terpaksa berjalan beribu-ribu langkah untuk sampai ke pintu utama, apabila hanya sebuah sahaja walkalator yang tidak berfungsi ketika itu.

Sebagai ketua komunikasi, ianya sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika untuk Aziz memutar belitkan keadaan dan menggambarkan situasinya dengan lebih dramatik dan serius daripada apa yang sebenarnya berlaku.

2,235 langkah ke pintu masuk? – hanya satu travelator yang tidak berfungsi, dan jaraknya bukan jauh sangat pun.

Tiada tempat duduk? – kerana AirAsia tidak akan membenarkan MAHB membuka lounge mereka untuk penumpang sebelum kru mereka tiba. (Cadangan: Mungkin boleh arahkan krew anda untuk tiba tepat pada masanya atau lebih awal pada masa akan datang?)

Kanak-kanak ‘mengamuk’? – ketika itu jam menunjukkan pukul 5.32 pagi. Malah orang dewasa pun akan berasa marah pada waktu itu, dengan tak nampak batang hidung krew penerbangan, dan salah seorang staf AirAsia sibuk merakam video mereka yang kelihatan mengantuk.

Jadi mengapa Aziz tergamak mendakwa yang bukan-bukan?

Inilah sebab mengapa Aziz Laikar memuat naik entri yang bersifat agar keterlaluan di media sosial.

Jelas, sebenarnya Aziz berbuat begitu kerana: AirAsia mahukan lapangan terbang sendiri, namun tidak boleh mendapatkannya, dan kemudian mencari kesalahan MAHB dan klia2, yang merupakan terminal kedua KLIA yang dibina berdasarkan spesifikasi AirAsia dan pertumbuhan yang diunjurkan.

Apa yang mereka mahukan ialah membina sebuah lapangan terbang yang sama seperti LCCT yang menawarkan keselesaan minimum, kemudahan minimum, suasana yang teruk, tiada pilihan kedai kecuali yang memegang jenama AirAsia atau Tune Group, pilihan makanan yang sangat terhad dan jauh dari Lembah Klang.

Dan apabila menyebut perihal kemudahan yang sangat teruk, kita bercakap tentang tempat letak kereta bertutup yang terhad, kemudahan yang tidak mesra untuk golongan orang kurang upaya (ingat lagi protes golongan OKU terhadap AirAsia kerana mereka berasa tertindas?), tiada jambatan aero sehingga para penumpang harus berjalan di bawah sinaran terik matahari dan hujan atau ribut tropika, sistem daftar masuk mereka yang teruk sehingga menyebabkan kelewatan penerbangan dalam skala yang besar, ruang yang sempit dan percampuran penumpang masuk dan penumpang yang berlepas kerana siapalah peduli terhadap pemerdagangan manusia, kan?

Tetapi pelanggan tidak boleh mengeluh kerana, seperti yang selalu diingatkan oleh AirAsia apabila dibanjiri aduan penumpang, anda memilih untuk terbang dengan kos rendah dan tiada caj tambahan, jadi tahan sajalah! – AJ