AGAK lama kita tidak mendengar khabar berita pelakon dan pengacara terkenal ini tetapi tiba-tiba namanya dikaitkan pula dengan tajuk kontroversi seperti ini!
Baru-baru ini, pengacara yang terkenal menerusi program Clever Girl, Alif Satar telah memuat naik satu rakaman memaparkan dia sedang mengusung jenazah keluar dari Masjidil Haram.
Menerusi video tersebut menyaksikan bukan sahaja Alif malah beberapa lagi jemaah lain dilihat turut sama tidak melepaskan peluang istimewa itu untuk mengiringi jenazah berkenaan.
“Sekadar berkongsi… Memang susah Alif nak dapat peluang ini… Mengejar pahala sebesar gunung Uhud… Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah..,” tulisnya menerusi entri tersebut.
Perkongsian berkenaan yang mendapat lebih daripada 1,000,000 tontonan itu telah mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Malah, terdapat juga segelintir peminatnya berkongsi kisah pemergian orang tersayang yang dijemput ketika keberadaan di Tanah Suci.
Bagaimanapun, terdapat juga komen berbaur negatif yang mendakwa Alif seolah-olah riak dan ingin mencari publisiti.
“Masha-Allah. Saya rasa awak tidak perlu berkongsi ini. Allah sememangnya tahu setiap apa yang awak lakukan dan di mana awak berada. Rakaman ini tidak diperlukan,” ujar netizen berkenaan.
Namun enggan melatah, figura kacak ini sebaliknya membalas komen yang ditinggalkan itu dengan memberitahu dia sekadar berkongsi agar dapat memberi manfaat kepada umat manusia.
Terjemahan: “Okay, berhenti buat andaian. Jangan cetek sangat fikiran. Macam saya katakan, kalau orang yang tidak pernah tengok keadaan ini, mereka berpeluang melihatnya menerusi posting ini.
“Saya hanya sekadar berkongsi. Berharap awak boleh memandang positif berhubung perkara ini. Dan sekali lagi, segalanya terserah pada awak. 🙂 Ya, Saya tahu Allah mengetahui segala niat saya. Salam,” balas Alif menerusi ruang komen posting berkenaan.
Tidak terhenti disitu saja, Alif turut memberitahu laman instagram adalah ruang di mana dia sering berkongsi pengalaman dan benda baru bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Instagram saya untuk keluarga dan rakan-rakan di mana saya tidak menganggap mereka sebagai peminat tetapi keluarga. Jadi saya berkongsi dengan KELUARGA.
“Jika awak tidak bersetuju dengan video ini, atau mungkin dakwah positif ini tidak menarik minat.
“Sila berhenti ‘stalk’ instagram saya kerana ia adalah perkongsian untuk keluarga dan rakan-rakan sahaja,” ujarnya.
Balasan komen yang ditinggalkan Alif itu dilihat mendapat pujian daripada netizen di mana mereka menyifatkan ia dibuat secara sopan tanpa perlu memaki hamun. –Kedahnews.com