KUALA LUMPUR - "Lima minit menjadi pemisah antara hidup dan mati," kata menantu Mohd Radzi Abdul Hadi, Abdul Rahimi Abdul Rahman ketika bercerita mengenai insiden yang menimpa keluarganya 9 Disember lalu.
Mohd Radzi dan keluarganya tiba di lapangan terbang Los Angeles pada 8 Disember untuk berjumpa seorang lagi anak perempuan suaminya Abdul Rahimi yang juga seorang pelajar di Universiti, Arizona.
Menceritakan kejadian menimpa Mohd Radzi, Abdul Rahimi berkata, doktor di Unit Rawatan Rapi, memaklumkan bapa mentuanya sangat bernasib baik kerana dapat dibawa ke hospital kurang lima minit selepas terkena serangan jantung.
"Ketika dia tidak sedarkan diri, kami menggunakan aplikasi Google Map untuk mencari hospital terdekat, kami bersyukur apabila mengetahui jarak hospital terdekat hanyalah dua minit perjalanan," katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.
Rahimi berkata, sebaik tiba di hospital, doktor menggunakan alat kejutan elektrik untuk merangsang jantung Radzi supaya kembali berdenyut.
"Selepas jantung bapa mentua saya memberi respons positif, dia kemudian menjalani rawatan Therapeutic Hypothermia, satu proses menyejukkan organ penting selepas otak tidak memberi sebarang maklum balas akibat kehilangan oksigen.
"Selepas koma selama lima hari, dia menerima rawatan susulan dan kemudian dibenarkan pulang, doktor amat terkejut kerana bapa mentua saya terselamat, dan otaknya tidak rosak, dia masih boleh ingat dan bercakap, hanya satu dalam 10 kes," katanya.
Abdul Rahimi yang sedang menuntut dalam jurusan Kejuruteraan di Arizona State University berkata, keluarga mereka kini sedang berusaha untuk membayar bil rawatan Radzi.
"Ramai yang mengetahui, kos perubatan di Amerika Syarikat antara yang termahal di dunia, setakat ini kami menerima bil hospital berjumlah AS$196,062.02 (RM800,000) dan ini tidak termasuk bil lain yang akan diterima secara berasingan.
"Keluarga kami sudah berbincang, dan kami nekad untuk melunaskan juga bil perubatan ini, walaupun berdepan kos yang amat tinggi.
"Ada seorang pengurus hospital itu menawarkan diskaun, tapi saya perlu membayar AS$24,456 (RM99,743.06) secara tunai dalam tempoh dua hari, ...mujur saya dimaklumkan ia mungkin satu cubaan untuk menipu dan ada unsur-unsur rasuah.
MOHD Radzi (kiri sekali) dan menantunya Abdul Rahimi (kanan sekali) bersama keluarga ketika bercuti di AS sebelum diserang sakit jantung sehingga bil perubatannya mencecah RM1 juta. Keluarga Mohd Radzi meminta bantuan orang ramai untuk menampung kos perubatannya.
"Jadi rancangan kami sekarang nak kumpul sebanyak mungkin duit dan akan bincang semula dengan pihak hospital tanpa melalui mana-mana individu.
"Laman GO Fund Me antara ikhtiar keluarga saya, dan setakat ini kami berjaya kumpul lebih AS$1,000 selepas sehari," katanya.
Maklumat lanjut kejadian dan butiran bantuan boleh diakses menerusi laman sesawang www.gofundme.com/urgent-md-radzi-heart-failure-fund
Sumber: BH Online