Wanita Buta Ramal 2018 China Kuasai Dunia, Atasi AS


SOFIA, Bulgaria – Seorang wanita buta dari Bulgaria meramalkan China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia pada tahun 2018.

Menurut beberapa individu yang mempercayai kuasa ghaib, Baba Vanga yang turut dikenali sebagai ‘Nostradamus dari Balkan’ itu membuat ramalan sehingga abad ke-51 sebelum dia meninggal dunia.

Selain itu, Vanga meramalkan satu bentuk tenaga baharu akan ditemui di planet Zuhrah pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pihak yang membuat perancangan menghantar misi penerokaan ke Zuhrah sekali gus menunjukkan penemuan tenaga baharu di planet itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Tukang tilik buta tersebut sempat meramalkan beberapa perkara besar yang akan mengubah dunia sebelum mati pada tahun 1996 ketika berusia 85 tahun.

Kejadian besar yang pernah diramalkan ialah mengenai ‘dua burung besi’ yang menyerang AS iaitu merujuk kepada serangan 9/11 pada tahun 2001, kehadiran militan Daesh di Eropah dan peristiwa Brexit.

Antara perkara lain diramalkan wanita tua itu adalah penduduk dunia akan kelaparan menjelang tahun 2028, koloni di planet Marikh mempunyai kuasa nuklear pada 2256 dan Bumi tidak akan berpenghuni pada tahun 2341.– AGENSI