IPOH - Gelap mata selepas menerima tawaran lumayan dari seorang individu dikenali menerusi aplikasi WeChat membuatkan seorang wanita sanggup memberikan 30 gambar bogelnya kepada individu berkenaan, 1 Disember lalu.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suit, 21, berkata dia mula mengenali individu berkenaan dalam akaun WeChat pada 13 November lalu.
Katanya, individu itu pada mulanya memperkenalkan diri sebagai pelanggan produk makanan yang dijual syarikatnya bekerja.
"Pada 1 Disember lalu, ketika saya berada di tempat kerja di Jalan Dato' Onn, individu berkenaan menghubungi saya lagi dan berbual menerusi aplikasi itu seperti biasa.
"Individu itu kemudiannya menawarkan saya wang berjumlah RM15,000 sekiranya saya memberikan gambar bogel saya kepadanya untuk diberikan kepada bosnya (majikannya)," katanya pada sidang media Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di sini hari ini.
Suit berkata, individu terbabit berjanji akan memadam gambar terbabit dalam masa tiga hari dan berjanji untuk menghantar wang seperti dijanjikan pada sebelah petang di tempat kerjanya.
"Bagaimanapun, selepas memberikan gambar kepadanya, pada jam 3 petang saya menghubunginya dalam aplikasi itu namun dia memberitahu dia hanya main-main sahaja.
"Malah, dia meminta saya memasukkan wang berjumlah RM5,000 ke dalam nombor akaun yang diberikan dan sekiranya gagal berbuat demikian, dia mengugut mahu menyebarkan gambar bogel saya kepada umum," katanya.
Suit berkata, selepas kejadian itu dia merasakan dirinya tertipu dan memaklumkan kepada ahli keluarga serta majikannya mengenai perkara itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan Bharu pada Rabu lalu.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA Perak, Jimmy Loh berkata, kejadian itu pertama kali diterima pusat berkenaan membabitkan ugutan penyebaran gambar bogel.
"Orang ramai terutamanya wanita diminta tidak terpedaya dengan tipu helah individu yang mahu menawarkan wang semudah itu," katanya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat itu dan menyerahkan kes kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Sumber: BH Online