Wanita Dari Johor Ditahan Kes Buang Bayi Di Baling


ALOR SETAR - Seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi yang diserahkan kepada seorang pekerja pam minyak di Baling kelmarin selepas melahirkannya di dalam tandas stesen minyak itu, ditahan selepas dia hadir ke Balai Polis Baling, semalam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Shariffuddin Yusuf berkata, wanita tersebut berusia 29 tahun berasal Johor Bharu, Johor.

Suspek itu ditahan di pekarangan balai polis tersebut sekitar jam 3.40 petang.

“Dalam soal siasat awal yang dijalankan terhadapnya, wanita itu mendakwa dia datang dari Kulim ke daerah ini untuk membawa bapanya berubat di Kupang sebelum datang ke stesen minyak itu untuk membuang air besar.

“Semasa dalam tandas, dia melahirkan seorang bayi lelaki. Ekoran daripada itu, dia mendakwa menyerahkan bayi berkenaan kepada pekerja stesen minyak terbabit dan memberitahu akan datang semula untuk menguruskan anaknya,” katanya.

Namun begitu, selepas menyelesaikan urusan bapanya yang berubat di Kupang, suspek memberitahu terus pulang ke Kulim dan tidak terdaya untuk kembali semula ke Baling bagi menguruskan anaknya itu.

“Hanya pada pukul 3 petang semalam, barulah dia kembali ke stesen minyak tersebut dan berjumpa dengan pekerja terlibat. Pekerja itu memaklumkan yang dia membuat laporan polis menyebabkan wanita tersebut datang ke balai,” katanya.

Apa yang difahamkan, suspek mengandung pada April 2017 hasil hubungan sulit dengan bekas teman lelakinya yang berusia 27 tahun yang juga menetap di Johor.

“Dia mendakwa hubungan itu sudah putus namun mereka masih berkawan. Ahli keluarganya pula didakwa langsung tidak mengetahui tentang segala yang berlaku.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan wanita itu kini di bawah jaminan polis kerana berada di wad Hospital Baling untuk menjalani rawatan,” katanya. - Kedahnews.com