PERSOALAN mengenai kes wanita yang mendakwa hamil hasil hubungan terlarang dengan seorang aktor akhirnya terjawab apabila individu terlibat melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, dia sudah mengenal pasti siapa sebenarnya lelaki yang bertanggungjawab terhadap bayi comel berkenaan.
Keputusan tersebut sekali gus telah menepis dakwaan yang dibuat sebelum ini sehingga mengaitkan nama beberapa orang artis tanah air sebagai sumber benih terbabit.
“Saya sudah membuat ujian DNA dan ternyata anak itu bukan hubungan dengan mana-mana artis dan saya minta maaf jika ada yang menjadi mangsa fitnah selepas kenyataan saya tempoh hari.
“Saya harap dengan kenyataan saya ini dapat menjernihkan nama mana-mana artis yang terkait,” ujarnya dipetik portal mStar Online.
Menurutnya lagi, dia mengaku salah kerana membuat tuduhan melulu dan meminta agar semua pihak tidak lagi memperbesar-besarkan isu anak zina berkenaan.
“Saya akui kesilapan saya dalam membuat tuduhan melulu dan menyebabkan beberapa artis pula terkena tempias.
“Saya juga bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang sanggup menerima saya seadanya,” ujar wanita itu.
Terdahulu, ramai gempar dengan pendedahan mengenai sikap tidak bertanggungjawab seorang aktor didakwa telah berjaya menghamilkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an sehingga melahirkan seorang zuriat yang comel.
Pendedahan itu dibuat oleh wanita tersebut bertujuan ingin pelakon terbabit tampil untuk bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah berkenaan. - Kedahnews.com