Wanita Malaysia Waspada Pilih Kosmetik Tempatan


PETALING JAYA - Tiada apa yang meningkatkan keyakinan wanita lebih daripada sedikit solekan untuk membuat wajahnya kelihatan lebih menarik.

Dan wanita mempunyai banyak pilihan dengan pelbagai produk membanjiri pasaran.

Jenama antarabangsa sememangnya lebih popular tetapi kini ramai wanita yang semakin memilih jenama alat solek tempatan kerana harganya yang lebih rendah.

Bagaimanapun, mereka berkata mereka berhati-hati dalam membeli kosmetik keluaran tempatan, kerana ada yang mengandungi bahan kimia tidak dibenarkan.

Pada Mac dan Mei tahun ini, Kementerian Kesihatan melarang jualan 15 produk tempatan selepas produk-produk itu didapati mengandungi racun berbahaya kepada kesihatan.

Penulis, Adila Ali, 34, berkata beliau memutuskan tahun ini untuk mencuba produk tempatan walaupun selama ini beliau menggunakan jenama Perancis terkenal.

“Saya putuskan untuk mencuba bedak kompak keluaran tempatan selepas melihat ulasan di media sosial. Dan saya dapati ianya sesuai dengan kulit saya juga,” katanya.

Tambah beliau, jenama tempatan jauh lebih murah berbanding jenama Perancis, sambil mnegatakan beliau hanya membelanjan RM100 untuk bedak itu berbanding RM300 untuk harga bedak yang diimport.

“Untuk bedak keluaran tempatan itu, stok sentiasa ada. Pernah sekali, saya perlu tunggu 2 minggu untuk mendapatkan bedak Perancis itu sampai,” katanya sambil menambah, ianya menjadi satu masalah untuk menunggu stok itu sampai ke sini dan kembali ke outlet itu hanya untuk membeli bedak tersebut.

Disoal jika beliau pernah bimbang sama ada produk tempatan mungkin mengandungi kandungan merkuri tinggi, Adila berkata sebagai pengguna yang bijak beliau berwaspada tentang produk yang digunakan ke atas kulitnya dan memastikan beliau membaca label produk dengan hati-hati.

“Sesetengah jenama antarabangsa juga mengandungi merkuri. Tetapi pengguna tidak mempedulikannya. Mereka fikir ianya selamat kerana sudah lama jenama itu wujud,” katanya sambil menambah, sudah tiba masa pengguna tidak ambil mudah tentang produk.

Jurutera rangkaian, Dian Sulaiman, 27, yang juga menggunakan alat solek keluaran tempatan dan berpuas hati kerana produk tempatan pilihannya tidak menjadikan kulitnya kering.

Katanya, beliau berasa selamat menggunakan jenama tempatan asalkan beliau mengetahui kandungannya.

“Contohnya, saya akan semak jika ia mengandungi Paraben,” katanya merujuk kepada agen pengawet yang biasa digunakan dalam produk solekan yang dikatakan boleh menyebabkan kanser.

Menurutnya, beliau akan berhenti menggunakan sebarang produk jika jerawat mula tumbuh di mukanya.

“Saya tidak tahu jika saya mempunyai alahan kepada sebarang bahan. Tetapi jerawat adalah petanda kulit saya tidak menerima produk itu,” tambah Dian.

Bagaimanapun, penasihat kecantikan Eva Khoo berbeza pendapat.

Katanya, beliau berdepan ramai pelanggan yang pernah menggunakan jenama tempatan yang menjadikan kulit mereka nipis dan beruam.

“Saya hanya mempunyai satu wajah dan saya tidak sanggup merisikokannya. Ianya bukan kerana harga, ianya kerana kualiti.”

Sebab lain mengapa Khoo tidak akan menyentuh jenama tempatan adalah kerana kulit sensitif.

“Terdapat banyak kesan sampingan selepas menggunakan sesuatu produk kerana tidak mengetahui kandungannya.

“Bagi saya, saya hanya menggunakan jenama yang sudah lama digunakan selama 4 tahun kerana ia berkesan untuk kulit saya,” katanya.

Khoo memberitahu wanita perlu berhati-hati apabila membeli alat solek dan produk kecantikan untuk kulit mereka.

“Anda boleh mendapat nasihat daripada penasihat kecantikan mengenai apa yang sesuai digunakan untuk jenis kulit anda.”

Seorang pelajar universiti yang mahu dikenali sebagai Azira, menjauhi produk tempatan selepas krim solek yang digunakan 4 tahun lalu menjadikan kulit mukanya berjerawat.

“Kawan saya gunakan krim itu. Jadi, saya mencuba tanpa mengetahui kandungannya.

“Kulit saya mula berjerawat dalam masa 2 bulan. Saya berhenti menggunakan produk itu serta merta.”

Azira kemudian mencuba beberapa produk tempatan lain tetapi hasilnya juga mengecewakan.

“Kulit muka saya berparut akibat jerawat yang saya cuba hilangkan tetapi tidak berjaya.”

Beliau memutuskan untuk berhenti menggunakan alat solek dan kulitnya bertambah baik selepas 3 tahun.

Kini Azira hanya tumpu kepada mengekalkan kelembapan kulit.

Sumber – FMT