Warga Asing Alor Setar Simpan Tenggiling Untuk Makan


ALOR SETAR - Lima lelaki warganegara Vietnam mengaku bersalah atas dua tuduhan menyimpan tujuh tenggiling dan empat daripadanya adalah tenggiling tidak matang di mahkamah sesyen di Alor Setar, semalam.

Tertuduh, Nguyen Van Huy, 36; Le Quang Dinh, 53; Nguyen Luong Bang, 26; Nguyen Xuan Duc, 28 dan Phan Thai Son, 30, mengangguk sebagai tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa Veitnam.

Sejurus menerima pengakuan bersalah daripada semua tertuduh itu, Hakim Azman Abdul Hassan menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada setiap tertuduh.

“Bagi pertuduhan pertama, setiap tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara setahun dan denda RM10,000. Jika mereka gagal membayar denda itu, setiap tertuduh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

“Bagi pertuduhan, setiap tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara 18 bulan dan denda RM20,000. Jika gagal membayar denda berkenaan, setiap tertuduh dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan.

“Mahkamah memerintahkan, kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 November,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua rakan senegara itu dituduh menyimpan tiga tenggiling jenis manis javaniva yang telah mati.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah kediaman di Taman Angsana, Changloon, daerah Kubang Pasu, kira-kira jam 8.10 malam, pada 24 November lalu.

Untuk itu, kesemua tertuduh disabit kesalahan mengikut Seksyen 68 (1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan boleh dihukum dengan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, kelima-lima lelaki itu juga didakwa menyimpan empat tenggiling yang mati spesies manis javaniva yang tidak matang, di tempat, masa dan tarikh sama.

Untuk kesalahan itu, mereka disabit atas kesalahan menyimpan tanpa permit khas mengikut Seksyen 69 (1), APHL 2010 [Akta 716], memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Kedah, Mohamad Refaee Abdul Hamid.

Ketika rayuan, Mohamad Refaee memohon hukuman berat sebagai memberi pengajaran kepada semua warga asing yang berada di negara ini agar tidak melakukan jenayah ke atas hidupan liar di negara ini, meskipun tindakan itu tidak menyalahi undang-undang di negara mereka.

“Sepanjang 2017, sebanyak enam kes membabitkan spesies ini (tenggiling), ia menunjukkan trend kes semakin meningkat. Oleh itu, mahkamah harus mempertimbangkan kepentingan awam melindungi spesies yang semakin pupus kerana diancam,” katanya.

Sementara itu, peguam Jack Siose yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon hukuman yang ringan dengan alasan tujuan tenggiling disimpan untuk dimakan oleh anak guamnya.

“Ini merupakan kesalahan pertama kesemua anak guam saya. Kesemua mereka tidak tahu menangkap dan menyimpan tenggiling adalah satu kesalahan di negara ini,” katanya. - Kedahnews.com