PUTRAJAYA - Aktor Malaysia Jack Tan memenangi Anugerah Aktor Terbaik menerusi filem Malaysia ‘Shuttle Life’ pada majlis penutupan Festival Filem ASEAN-China (ACFF) 2017 di sini malam semalam.
Filem China ‘Wolf Warrior 2’ memenangi anugerah filem Rencana Terbaik sementara aktres Filipina, Laila Ulao diumumkan Aktres Terbaik menerusi filem ‘Women of the Weeping River’.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam ucapannya pada majlis itu berkata ACFF dapat mendorong pembikin filem di ASEAN dan China mengadakan kerjasama rentas sempadan dalam produksi filem.
Filem dapat juga memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan China, katanya lagi.
ACFF yang bermula 1 Dis berakhir semalam. Ini kali pertama festival itu diadakan di sebuah negara ASEAN.
Bandaraya Xiamen di wilayah Fujian, China akan menjadi hos bagi ACFF 2018.
ACFF adalah program pertukaran budaya rakyat dengan rakyat antara ASEAN dan China, dengan filem menjadi medianya.
Sejumlah 23 filem dari 10 negara ASEAN dan tujuh filem dari China ditayangkan di ACFF.
Dianjurkan oleh Agensi Kewangan ASEAN dan Guangxi Art University, China, ACFF disokong oleh Kedutaan China di Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.- BERNAMA