Zahra Atlet Bertudung Lincah Luncur Ais


ZAHRA Lari komited demi mencapai impian selaku peserta luncur ais bertudung pertama menyertai pertandingan luncur ais kompetitif antarabangsa.

Dia berazam mengukir nama selaku peserta pertama dari negara Arab beraksi di Sukan Olimpik musim sejuk, Kejohanan Luncur Ais ‘Figure Skating’ dan Kejohanan Dunia.

Wanita berusia 22 dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu mendapat inspirasi menyertai acara itu secara profesional selepas menonton filem Disney.

Dia membantu negaranya muncul negara Arab pertama menyertai Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) sekalipun rantau negaranya tiada salji dan ais.

Zahra terbabit 10 tahun lalu selepas mengambil bahagian dalam pertandingan luncur ais ketika masih bersekolah.

Dia bekerja keras membahagikan masa sebelum serta selepas kelas dan bangun seawal jam 4.30 pagi.

Bapanya membawa Zahra berlatih di satu satunya gelanggang ais di Abu Dhabi yang terletak di Zayed Sports City.

Sebagai wanita terlalu muda ketika itu, dia berdepan kesukaran meluncur di depan lelaki malah boleh memberikan masalah dalam kalangan masyarakat Islam negara itu.

“Saya mula meluncur ais usia 12 tahun selepas menonton sebuah filem Disney 'Ice Princess',” kata Zahra.

“Bapa saya merasakan ia terlalu bertentangan dengan tradisi biasa dan budaya negara itu terutamanya buat seorang perempuan bertanding dalam acara sukan.”

Sukan itu biasanya memperlihatkan peserta mengenakan sut ketat dan mendedahkan fizikal menyebabkan bapa Zahra tidak membenarkan dia menyertai pertandingan.


Keadaan menghalangnya daripada menyertai acara itu ketika membesar sebagai seorang remaja.

“Sebagai satu keluarga, kami hanya pergi ke pertandingan untuk memberi sokongan kepada rakan rakan bertanding,” katanya.

Bapa Zahra akhirnya memberi kebenaran terhadap kemahuan anaknya itu disebabkan kegembiraan dibawa sukan itu terhadap dirinya menjadikan UAE menjadi negara Arab pertama menyertai ISU.

“Ayah kini penyokong terkuat saya,” kata Zahra dengan syarat dia mesti mengekalkan tradisi keluarga ketika bertanding.


Zahra sebaliknya mengenakan pakaian sopan dan seluar lebih tebal menutup aurat terutamanya kedua dua belah kakinya.

Apapun, tudung kepala dipakainya paling menarik perhatian dan muncul peluncur ais pertama bertanding dengan pendekatan itu pada Piala Eropah di Canazei, Itali pada 2012.

Bagaimanapun, hakim menolak satu markah disebabkan perlanggaran peraturan pakaian digunakan.

“Saya tidak ada perasaan negatif terhadap peraturan itu,” kata Zahra.

“Pengadil ketika itu tidak pernah melihat seseorang bertanding seperti itu dan mereka tidak tahu bagaimana untuk memberi markah kepada saya.

“Ketua pembangunan ISU ketika itu mahu berjumpa saya ketika berada di Hungary. Dia mahu melihat tudung saya dan cuba faham adakah ia selamat digunakan di atas ais.”

Dia kemudian berkempen untuk perubahan peraturan dan ketika Trofi Nebelhorn di Jerman, pegawai diberitahu agar tidak menganggap penutup kepala bertentangan dengan sut luncur ais.

Ia bagaimanapun bukan perubahan tetap tetapi ISU mengesahkan penilaian peraturan sama ada ia perlu lebih spesifik untuk masa depan.

Zahra terlepas kelayakan ke Sukan Olimpik musim sejuk di Korea Selatan.

Pada usia 22 dia masih ada peluang mencapai cita cita mutlaknya itu.

“Sasaran saya melebihi mewakili UAE pada Sukan Olimpik musim sejuk,” katanya.

“Saya mahu bertanding pada saingan Kejohanan Luncur Ais Empat Benua dan Kejohanan Dunia. Pertandingan ini adalah sasaran utama saya sekarang.”

Sumber: MyMetro