Zaid Ibrahim Dipanggil Ke Bukit Aman


KUALA LUMPUR — Anggota DAP, Datuk Zaid Ibrahim, hari ini hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat di laman Twitter pada 5 Disember lepas.

Zaid tiba kira-kira 9.30 pagi bagi memberi keterangannya kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama 30 minit dan dilihat meninggalkan perkarangan ibu pejabat polis itu kira-kira jam 11 pagi.

Zaid, yang juga pengamal undang-undang, ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan itu berkata siasatan adalah berkisarkan ‘tweet’ beliau pada 5 Disember lepas, yang menurutnya adalah pandangan peribadinya.

“Namun, saya berpuas hati dengan siasatan tadi dan menunggu keputusan mereka,” katanya. Pegawai polis yang menjalankan siasatan itu ujarnya menjalankan tugas dengan profesional dan bertanyakan soalan berkaitan.

Katanya, jika ada keperluan polis akan panggil beliau semula untuk diambil keterangan. Polis sebelum itu mengesahkan Zaid disiasat di bawah Akta Hasutan serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Zaid menerusi akaun Twitter itu mempertikaikan titah Sultan Selangor yang antara lainnya menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataan menghina Bugis. – Bernama