100 Pesawah Di Yan Runsing Tanaman Dilanda Padi Angin


YAN - Seramai 100 pesawah Kampung Kuala Dulang Kecil runsing ekoran masalah padi angin yang melanda tanaman padi mereka sejak lima musim lalu.

Pesawah, Abu Yasin, 51 berkata, masalah ini telah menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

"Kami telah mengusahakan pelbagai cara bagi mengatasi masalah ini namun keadaan sama tetap berlaku," katanya.

Katanya, sejak 10 tahun melibatkan diri dalam bidang penanaman padi, ini adalah keadaan paling teruk kerana racun yang digunakan untuk memusnahkan padi angin turut tidak memberi sebarang kesan.

"Dulu ada juga kes padi angin ni, tapi bila saya guna racun alhamdulilah boleh kawal tapi sejak lima musim lepas keadaan makin teruk.

"Kami beli benih padi dari pembekal yang sah dan di kampit benih padi tu pun dah tertulis 'benih padi sah' jadi kami sangat yakin hasil padi pun memuaskan, bila jadi macam ni apa lagi nak kata," katanya dengan nada kesal.

Mengakui masalah sama, Mohd Rosdi Yahaya berkata, ketika membeli benih padi mereka telahpun mendapat pakej lengkap bersama racun.

"Namun demikian, racun yang diperoleh tidak berkesan untuk digunakan bagi mencegah masalah padi angin," katanya.

Katanya, pendapatan pesawah kawasan tersebut terjejas teruk ekoran masalah padi angin ini.

"Kalau dulu 1.2 hektar tu boleh la dapat hasil padi dalam satu tan lebih, sekarang ni nak dapat satu tan semusim pun payah," katanya.

Pesawah, Helmi Salleh, 49, berkata dia menghabiskan ribuan ringgit semata-mata membeli racun bagi mencegah masalah padi angin namun tidak berjaya.

"Saya tanam padi seluas tiga hektar dan boleh dikatakan separuh daripada tanaman terkena padi angin

"Padi angin ni nak buat apa? Kita sentuh sikit, ataupun angin mai tiup laju habis luruh padi yang tinggal hanya tangkai saja," katanya.

Katanya, dulu untuk keluasan tiga hektar dia akan mendapat hasil sebanyak 20 tan tetapi pendapatan tersebut terjejas teruk akibat padi angin.

"Sudah empat musim saya tak boleh nak dapat 20 tan, paling kuat dapat lah 12 tan, memang terjejas teruk lah senang cerita.

"Dengan ekonomi sekarang tak tentu hala, kos hidup tinggi macam mana kami pesawah ni nak hidup.

"Banyak benda perlukan duit jadi kami sangat berharap pihak berkuasa mai turun tengok tinjau masalah kami ni," katanya.

Sumber: Sinar Harian