LAPANGAN terbang bukan sekadar hab pengangkutan, malahan ia memainkan peranan penting terhadap pembangunan ekonomi sesebuah negara kerana ia membolehkan seseorang itu bergerak ke destinasi dituju.
Bilangan penumpang dan penerbangan dikatakan mempunyai kaitan dengan tahap ekonomi, pendapatan. Seiiring itu juga, semakin banyak lapangan terbang dinaik taraf dan dimodenkan bagi memberi keselesaan kepada penumpang, selain menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara.
Jadi, di mana terletaknya lapangan terbang terindah di dunia? Berikut adalah senarai 13 lapangan terbang itu mengikut Curbed dan lebih mengujakan apabila Malaysia turut terpilih bagi kategori ini.
Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev
Direka bentuk oleh arkitek Turki, seni bina menggunakan kaca yang menempatkan pelbagai kemudahan ini terletak di Baku, Azerbaijan. Ia mampu menampung lebih lima juta penumpang setiap tahun.
Lapangan Terbang Antarabangsa Denver
Lapangan Terbang Adolfo Suarez Madrid-Barajas
Kedudukannya kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Madrid. Ia dinaik taraf pada 2006 oleh arkitek Richard Rogers. Ia menampilkan bentuk bumbung umpama ombak yang disokong rimbunan pohon bagi membolehkan cahaya masuk secara semulajadi di aras atas terminal.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai
Direka oleh arkitek Itali, Renzo Piano, binaan ini terletak di Osaka, Jepun dan mula dibuka pada 1994. Beroperasi berhampiran Teluk Osaka, ia adalah lapangan terbang ‘laut’ pertama yang mampu mengendalikan sehinggan 100,000 penumpang sehari.
Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing
Di buka sebelum berlangsungnya Olimpik 2008, Terminal 3 yang panjangnya hampir empat kilometre itu adalah antara lapangan terbang terbesar di dunia.
Rekabentuknya hasil kreativiti firma Foster-Partners, ia menampilkan warna tradisional masyarakat Cina – merah dan kuning yang seiring dengan budaya dan sejarah bangsa itu.
Selain itu, bangunan terminal dan pusat pengangkutan itu direka bentuk untuk mengendalikan sehingga 50 juta penumpang setiap tahun sehingga 2020.
Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji
Terminal 3 lapangan terbang di Mumbai, India ini mula menerima penumpang pada 2014. Direka oleh Skidmore, Owings & Merrill (SOM), terminal ini dibina bagi menampung pertambahan pelancong ke negara itu.
Ia menampilkan bumbung yang tinggi sebagai lambang budaya masyarakatnya , malahan sambutan tradisi juga menjadi amalan di balai ketibaan dan berlepas.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
Terletak di Sepang, ia adalah antara lapangan terbang terbesar di Asia. Direka oleh arkitek Jepun, Kisho Kurokawa, bangunan ini menampilkan gaya Islamik dengan tiang gergasi yang diperbuat daripada tembaga.
Lapangan Terbang Menara
Binaan di Marrakech, Maghribi ini siap pada 2008. Ia direka Swiss Architects E2A Architecture yang menampilkan seni Islamik. Ia dikatakan contoh bagaimana bangunan kontemporari dapat menerapkan corak tradisional.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kutaisi
Ia juga dikenali sebagai David the Builder dan terletak di Kutaisi, Georgia. Direka oleh firma arkitek Belanda, UNStudio, ia mengetengahkan warna merah bagi membantu penumpang melihatnya.
Bangunan itu menampilkan tingkap yang besar, rekaan dalaman yang dipenuhi lampu dengan pemandangan Pergunungan Caucasus.
Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an
Lokasi lapangan terbang ini di daerah Bao’an, Shenzhen di China. Direka arkitek berpangkalan di Rom, Massimiliano dan Doriana Fuksas, bangunan Terminal 3 lapangan terbang ini dianggap unik di bahagian bumbungnya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo
Direkabentuk oleh firma arkitek London, Grimshaw Architects, ia terletak di St. Petersburg, Rusia. Siap dibina pada 2014 dengan jangkaan pengendalian penumpang sehingga 12 juta setahun. Bangunan ini menampilkan bumbung yang rata bagi menampung salji yang tebal.
Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia
Lokasinya adalahnya di Amman, Jordan dan direka oleh Foster+Partners. Bumbung separa bulatnya diinspirasikan daripada khemah Bedoui, manakala bahagian bawahnya umpama permukaan daun. Ruangnya dipenuhi warna coklat dan krim umpama gurun.
Lapangan Terbang Changi
Lapangan Terbang Changi di Singapura sering kali dipilih antara yang terbaik di dunia. Terminal 3 lapangan terbang ini dibuka pada 2008 bagi menyambut ketibaan lebih ramai penumpang. Ia juga dilengkapi dengan warna alam semula jadi dan taman rama-rama.
Sumber: Mstar Online