206 Nelayan Tanjung Dawai Gembira Terima Kunci Duduki Rumah Baharu


SUNGAI PETANI - Senyuman jelas terukir pada wajah sekumpulan 206 nelayan di Tanjung Dawai selepas masing-masing menerima kunci bagi mendiami rumah baharu di Taman Nelayan, bermula Rabu lalu.

Pasangan suami isteri, Mohd Nasir Shari, 33, dan Awatif Zulkifli, 27, antara pasangan muda yang menerima kunci pada hari ini, memanjatkan rasa syukur kerana akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.

"Sebelum ini tinggal dengan keluarga, bila ada rumah sendiri, lebih selesa untuk kami berdua dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun," katanya kepada Bernama.

Seorang warga emas, Tok Ah Kaw, 71, pula berkata, dia menjadi nelayan sejak berusia 13 tahun dan tinggal bersama anak-anak di Kampung Bagan Belat.

"Sudah lama kami mengidamkan rumah yang lebih selesa, syukur walaupun agak lama menunggu akhirnya saya dapat menghabiskan usia emas bersama isteri di dalam rumah yang lebih selesa," katanya.

Bagi Soom Pit a/l Nai Teang, 52, pula, dia terpaksa menumpang di rumah ibu bapanya namun kini kehidupannya lebih selesa bersama isteri dan seorang anak perempuan berusia lapan tahun.

Majlis penyerahan kunci rumah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk Tajul Urus Mat Zain. Hadir sama, Ketua Seksyen Perumahan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Siti Hawa Delaila Tukiran dan Pengarah LKIM Kedah, Hamdan Mamat.

Sementara itu, Tajul Urus berkata, pembinaan rumah di bawah projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai itu membabitkan pembinaan 300 unit rumah Semi-D, dilengkapi enam unit kemudahan termasuklah sebuah dewan serbaguna, tadika, surau dan rumah kedai, di atas tanah berkeluasan 10.9 hektar.

"Kita menerima banyak permohonan namun hanya 206 termasuklah tujuh berbangsa Tionghua dan seorang Siam, yang layak, lagi 94 kekosongan akan kita isi selepas selesai kumpulan pertama ini dahulu.

"Pemilik rumah hanya perlu membayar RM54,000 secara ansuran iaitu RM150 sebulan selama 30 tahun, dan penyerahan kunci pada hari ini hanya kepada mereka yang membuat bayaran deposit bagi pemasangan bekalan elektrik dan air," katanya pada sidang media.

Dalam perkembangan sama, Tajul Urus mengakui bahawa kelewatan penyerahan kunci akibat berlakunya masalah teknikal, apabila kualiti projek perumahan nelayan itu tidak menepati standard ditetapkan.

"Kita tidak mahu ada kerosakan dilaporkan berlaku apabila nelayan sudah menduduki rumah terbabit, sebab itu kita arahkan pemaju untuk memperbaiki semuanya sebelum penyerahan kunci boleh dibuat.

"Rumah ini dibina berdasarkan Reka & Bina, jika berlaku kerosakan dalam tempoh dua tahun selepas diduduki, pemilik boleh membuat aduan," katanya.

Tajul Urus yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, berkata, LKIM akan membina dua jeti nelayan masing-masing dengan peruntukkan sebanyak RM300,000 dan RM600,000 dalam tempoh terdekat namun kira-kira lima jeti haram yang dibina ketika ini, perlu dirobohkan.

Projek perumahan nelayan Tanjung Dawai diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke Tanjung Dawai pada 31 Okt 2012, sebagai penyelesaian terhadap masalah penempatan nelayan di kawasan terbabit, dan pembinaannya bermula pada 2013. - Bernama