28 Pemain Muda Wakili Piala Belia Kedah Musim 2018


ALOR SETAR - Pasukan Piala Belia Kedah B-19 memeterai majlis tandatangan 28 pemain bawah 19 tahun bagi mewakili pasukan Piala Belia negeri Kedah musim 2018.

Jumlah tersebut adalah daripada 800 pemain yang hadir dalam pemilihan diadakan di tiga tempat iaitu Stadium Mini Jitra, padang Hicom Sungai Petani dan Stadium Mini Merbok, seramai 126 pemain berjaya ke peringkat seterusnya.

Selepas pemilihan terakhir yang dilakukan di Alor Setar tahun lalu, seramai 28 pemain terbaik akhirnya dipilih mewakili pasukan Piala Belia Kedah untuk musim 2018.

Menurut pegurus pasukan yang baharu dilantik Mohd Zaini Safie, beliau yakin pemilihan itu berjaya menyenaraikan pemain terbaik sebagai persiapan untuk musim ini.

"Semua pemain tampil dengan bakat yang kita perlukan tapi hanya yang terbaik dipilih untuk mewakili Kedah yang juga penyandang juara Piala Belia untuk musim ini.

"Bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan tapi dengan moto 'Mari Berkerja Bersama Saya' saya berazam memberi kerjasama yang baik kepada pengurusan, jurulatih, pegawai dan pemain demi memastikan kejayaan berterusan di peringkat pembangunan bola sepak negeri Kedah," katanya memetik BH Online


Mohd Zaini yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad Piala Presiden dan juga SUKMA pada 2007/2008 dan meraih gangsa di edisi SUKMA 2008 lalu juga berkata seramai 21 pemain baharu didaftarkan untuk kali ini dan tujuh pemain yang beraksi pada musim lepas dikekalkan pada musim ini dan selebihnya baki pemain pada musim lepas diserapkan ke pasukan Piala Presiden.

Pada musim lalu, pasukan Belia Kedah berjaya menjulang kejuaraan Piala Belia kali pertama selepas menewaskan pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 1-0 di Stadium Darul Aman pada 16 Oktober tahun lalu. Sebelum itu pada peringkat akhir pertama SSMP mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kedah di Stadium UiTM Shah Alam pada 11 Oktober 2017.

Selain penghargaan kepada pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Zaini juga mengucapkan terima kasih kepada bekas pengurus skuad Piala Presiden Haris Che Mat yang banyak memberi panduan dan tunjuk ajar dan berjaya membawa prestasi cemerlang skuad Belia Kedah sejak menjawat jawatan berkenaan pada 2014. - Kedahnews.com