3 Pencuri Gagal Larikan Anak Lembu Di Kulim


ALOR SETAR - Tiga lelaki gagal melarikan anak lembu dipercayai disuntik pelali menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas terserempak anggota peronda polis di kawasan Batu Puteh di Kulim, pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 4 pagi itu anggota peronda tersebut terserempak Toyota Wish dinaiki tiga lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

Ahmad Nasir berkata, anggota terbabit mengarahkan pemandu kereta itu berhenti untuk pemeriksaan namun pemandunya terus memecut laju.

“Anggota terbabit mengejar suspek hingga memasuki jalan kampung.

“Beberapa minit mengejar kereta suspek berhenti secara mengejut di kawasan ladang sawit di kampung itu dipercayai mengalami kerosakan. Ketiga-tiga suspek bagaimanapun melarikan diri,” katanya memetik MyMetro.

Ahmad Nasir berkata, pemeriksaan di dalam kereta berkenaan menemui seekor anak lembu jantan di tempat duduk belakang dalam keadaan tidak bermaya dipercayai disuntik ubat pelali.

“Anggota polis bersama dengan penduduk mencari suspek di kawasan terbabit namun gagal,” ujarnya.

Tambahnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut berkenaan kenderaan terbabit serta pemilik lembu itu. -Kedahnews.com