3.6 Juta Rakyat Malaysia Belum Daftar Sebagai Pemilih


PUTRAJAYA – Sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas  masih belum mendaftar sebagai  pemilih setakat September tahun lepas, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata pemilih dalam Daftar Pemilih sehingga suku ketiga 2017 adalah seramai 14.8 juta orang.

“Untuk tempoh pendaftaran pemilih suku keempat tahun lepas, SPR menerima 212,042 pendaftaran pemilih baharu dan 72,998 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya,” katanya dalam  kenyataan di sini semalam.

Katanya, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 4/2017 akan dipamerkan selama 14 hari mulai esok sehingga 30 Januari ini di 961 tempat pameran di seluruh negara.

Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada Oktober, November  dan Disember tahun lalu dinasihatkan untuk menyemak, katanya.

Bagi permohonan pendaftaran baharu, pemohon yang mendapati namanya tidak tersenarai dalam Rang DPT itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan menyerahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran  Rang DPT itu, katanya.

Katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang DPT Suku Tahun 4/2017 di satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Abdul Ghani berkata seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT Suku Tahun 4/2017,” katanya.

Semasa tempoh pameran Rang DPT itu, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih kerana didapati tidak berhak untuk terus kekal dalam daftar pemilih atas sebab antaranya telah meninggal dunia, melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraanya, katanya.

Menurutnya, pemohon boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT suku keempat.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT Suku Tahun 4/2017 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri, katanya. – Bernama