4 Ahli Geng Man Kuda Ditahan Di Kedah


ALOR SETAR - Empat ahli geng 'Man Kuda' yang aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan diberkas dalam serbuan berasingan dekat Taman Bidara, di sini dan Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata susulan laporan yang dibuat beberapa mangsa, polis telah menahan dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun pada jam 6.30 pagi di Taman Bidara di sini, kelmarin.

"Hasil siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek, kita memberkas dua lagi suspek kira-kira jam 11 malam tadi di dalam sebuah kereta di Kuala Ketil, Kedah.

"Empat suspek ini aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan dan samun sekitar daerah SPT," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dalam serbuan itu, Nik Ros Azhan berkata, polis merampas dua kereta yang dipercayai dicuri suspek dan beberapa unit telefon bimbit serta pelbagai peralatan memecah masuk kenderaan.

Tambah beliau, semua suspek yang diberkas mengaku melakukan beberapa kes pecah kenderaan di daerah ini.

"Seorang daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah curi kenderaan dan dadah. Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya memetik BH Online. - Kedahnews.com