4 Kali Diserang "Lelaki Kurang Siuman" Di Yan


ALOR SETAR - Ini bukan kali pertama seorang pemandu lori ini diserang oleh lelaki yang dipercayai sebagai kurang siuman, dalam kejadian yang berlaku kelmarin, ia merupakan kali yang keempat.

Malah, lelaki yang dikatakan kurang siuman itu semakin berani apabila cuba untuk menetak mangsa dengan menggunakan parang.

Mohamad Mohd Hussain, 48, berkata ketika kejadian dia memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk membeli air sebelum didatangi lelaki itu di Batu 17, Jalan Sedaka, Yan pada jam 10 pagi kelmarin.

"Siap beli air saya nak masuk dalam kereta, tiba-tiba ternampak ada lelaki mai dari belakang sambil bawa parang dan melibas ke arah saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Tiga, Sungai Limau Luar, semalam.

Mujur sahaja dia sempat melarikan diri setelah menyedari kehadiran lelaki berkenaan dan terus meninggalkan keretanya.

"Mungkin lelaki tu marah sebab tak dapat nak cederakan saya, dia rosakkan kereta saya dengan pecahkan cermin kereta dari semua sisi sehingga saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM4,000," katanya.

Menurut Mohamad, kejadian kali keempat menimpannya itu adalah paling buruk kerana hampir mengancam nyawa.


"Saya kenal lelaki tersebut kerana dia pernah bekerja sebagai kelindan lori di tempat saya bekerja sebelum berhenti beberapa bulan lalu.

"Saya pun runsing memikirkan apa kesalahan saya kepada dia sehingga dia sangup melakukan sedemikian rupa. Memang lah dia 'sakit' tetapi kenapa hanya saya sahaja yang menjadi mangsanya," katanya.

Mohamad berkata, serang kali pertama pada enam bulan lalu, lelaki berkenaan membaling batu ke arahnya di tempat kerja namun dia tidak membuat laporan polis kerana mengangap perkara ini tidak serius.

"Kali kedua dia mai ke rumah saya dan membaling bata ke arah rumah dan kali ketiga pada 31 Ogos lalu dia melanggar saya ketika saya menunggang motosikal dan itu kali pertama saya membuat laporan polis.

"Kali ke empat adalah kejadian semalam, saya merasakan dia semakin berani apabila sanggup menggunakan senjata. Saya risau memikirkan keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Mohamad dia berasa sangat sedih kerana keretanya itu merupakan pemberian anak sulongnya.

"Saya tidak menyangka perkara sebegini boleh terjadi dan berharap pihak polis membantu saya dalam menyelesaikan kes ini." katanya.

Anak sulungnya, Robiah Mohamad, 23, berkata, kejadian malang yang menimpa bapanya itu sangat meruntun hati dan membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan ibu dan ayah serta adik-adiknya yang sentiasa berada di rumah.

"Kalau ayah keluar kerja, hanya mak dan adik-adik sahaja di rumah, takut juga perkara sebegini berulang dan bertambah teruk.

"Sebab kalau kita tengok lelaki tu semakin berani, mula baling bata sahaja di rumah lepas tu dah mula guna parang.

"Saya pun tak tahu apa masalah dia dengan ayah tapi bila dia mengamuk dan datang ke rumah benda yang dia ulang adalah dia nak ayah saya mati," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritenden Muhamad Halim Yatim mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan.

"Suspek sudah ditahan dan kini sedang menerima rawatan sebagai pesakit mental di Hospital Sultan Abdul Halim," katanya.

Katanya, pihak polis masih menunggu laporan psikiatri daripada pegawai perubatan.

"Jika suspek didapati waras dan sihat pihak polis akan meneruskan siasatan untuk menuduh suspek," katanya. - Kedahnews.com