4 Tol Dimansuh 20 Tahun Lebih Awal


KUALA LUMPUR - Kutipan tol di empat Plaza Tol, iaitu dua di Selangor dan masing-masing sebuah di Kedah dan Johor akan dimansuhkan berkuat kuasa jam 12 tengah malam semalam.

Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan semalam, berkata Plaza Tol berkenaan adalah Batu Tiga dan Sungai Rasau di Shah Alam; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL), Johor Bahru.

Pemansuhan kutipan tol berkenaan adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

Mengikut kenyataan itu, pemansuhan kutipan tol adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara diri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya di Selangor, Kedah dan Johor.

Pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam membolehkan pengguna menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Bagi Lebuhraya EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor saja.

Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi pengurusan kawalan trafik dan papan tanda yang disediakan ketika melalui semua plaza tol berkenaan bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selamat.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi akaun Twitter rasminya @PetraJayaMP berkata, pemansuhan berkenaan adalah demi kesejahteraan rakyat.

Sumber: BH Online