40 Pemilikan Tanah Di Kulim Bakal Disita


ALOR SETAR - Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai mendedahkan sebanyak 40 pemilikan tanah bernilai lebih RM400,000 di sekitar Kulim bakal disita ekoran pemiliknya gagal melangsaikan bayaran cukai tanah sejak 2003 hingga 2017.

Menurutnya, kadar cukai yang dikenakan bagi setiap satu tanah yang disita itu bernilai RM1,200 setahun dengan anggaran tunggakan berjumlah lebih RM10,000 sepanjang tempoh lebih 10 tahun itu.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat tanah yang dijadikan stesen jana kuasa elektrik di kawasan perumahan sudah disita.

"Selain di Taman Seni Lunas ini, kita sudah mengambil tindakan menyita tanah di Padang Serai, Mukim Padang Cina dan Kulim," katanya.

Beliauberkata kepada pemberita selepas Operasi Sitaan Tanah Kerajaan di Taman Seni, Lunas, di Kulim, semalam.

Jelasnya, pihak pegawai daerah telah mengeluarkan beberapa notis termasuk Borang 2A, bahkan telah memanggil pemaju dan syarikat bekalan elektrik tersebut untuk berbincang namun tiada respons yang diterima.

"Kemudian kita keluarkan borang 6A dan bagi masa tiga bulan namun masih tiada maklum balas.

"Untuk itu, kami ambil langkah akhir iaitu mengeluarkan borang 8A untuk lakukan sitaan. Jadi, kita akan dakwa mereka sebagai menceroboh tanah kerajaan jika mereka masuk ke tanah berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohamad turut mendakwa sehingga kini, sejumlah RM20 juta nilai tunggakan cukai tanah masih belum dijelaskan pemilik tanah di daerah ini.

"Tahun lepas kita berjaya kutip cukai semasa tanah sebanyak RM37 juta namun tunggakan cukai masih ada iaitu sebanyak RM20 juta. Jadi saya ingin mengingatkan pemilik tanah yang belum membuat bayaran agar segera tunaikan tanggungjawab bagi mengelakkan pelucutan hak tanah," katanya. - Kedahnews.com