BAYAN BARU - Tujuh pelajar sekolah ditahan polis selepas didapati menunggang basikal lajak dalam keadaan merbahaya di jalanraya di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, enam daripada mereka berusia 14 tahun manakala seorang lagi berusia 13 tahun.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan oleh anggota dari Balai Polis Teluk Kumbar ketika menjalankan tugas ronda cegah jenayah di kawasan terbabit.
"Mereka ditahan kira-kira jam 6.30 petang tadi di Jalan Taman Pasir Belanda, Teluk Kumbar dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Teluk Kumbar. Polis menghubungi ibu bapa mereka untuk tindakan saman.
"Kesemua pelajar itu dibebaskan setelah ibu bapa masing-masing hadir ke balai polis dan disaman mengikut Peraturan 42(1) (a) (LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959)," katanya.
Tambahnya, kesalahan yang dilakukan sekumpulan pelajar itu tidak di kompaun kerana tidak mengayuh ikut deretan (bersaing).
"Mereka hanya perlu hadir ke mahkamah pada 26 Januari ini. Saya ingin menasihatkan ibu bapa untuk mengawasi pergerakan anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan kegiatan yang membahayakan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Sumber: Sinar Harian