8 Sebab Bercuti Adik-Beradik Satu Idea Baik!


TIDAK mudah mendapatkan percutian yang memuaskan hati kerana ia melibatkan banyak faktor.

Selain bajet, pilihan lokasi percutian, tempat tinggal atau aktiviti yang dilakukan juga mampu memberikan keriangan yang lebih jika ia dibuat dengan betul.

Paling penting, sudah pastilah siapa yang bersama anda dalam percutian itu.

Bercuti dengan sahabat, atau berkumpulan dengan rakan-rakan mungkin mengujakan, tetapi jangan dilupa bercuti dengan adik-beradik juga satu idea yang baik!

1. Boleh ubah pelan, teruja dengan perkara kecil


Anda tidak nampak menjengkelkan di mata orang yang membesar bersama anda, walaupun anda tahu dia tidak segembira anda yang pada saat akhir menaik taraf pilihan resort atau lebih banyak membeli-belah berbanding menikmati percutian. Dia tetap adik-beradik anda dan dia tidak akan pentingkan diri sendiri.

Dia mahu anda menikmati percutian dengan menjadi diri sendiri, asalkan dia juga dapat menjadi dirinya sendiri.

Oleh kerana anda tidak takut untuk bersuara tentang sesuatu perkara atau keinginan, dia akan bersetuju tetapi pastikan bahawa dirinya juga mendapat bahagian, tawaran dan pengalaman yang adil untuk dirinya.

2. Buatlah apa saja tanpa rasa bersalah

Anda mungkin bangun pagi dan mahu terus bersarapan, memulakan hari anda dengan makan penkek, roti, nasi lemak atau kuih muih yang penuh pinggan.

Tetapi jika dia bangun dan kata 'saya rasa saya perlu bersenam atau berenang', anda faham kehendaknya dan perlu menunggu sehingga dia selesai.

Anda mampu menghidu kehendak masing-masing. Anda tahu apa yang dia perlu untuk berasa puas hati dan begitu juga sebaliknya.

3. Jimat wang, masa telefon keluarga

Ini pasti. Apabila anda mempunyai keluarga yang sama untuk dihubungi, ia tidak akan mengambil masa lama untuk menelefon ahli keluarga yang anda sayangi.

Anda tidak perlu buat dua kali panggilan untuk beritahu semua orang tentang pemandangan indah yang anda lihat pada hari itu.

Satu FaceTime atau panggilan video sudah cukup, kemudian kembalilah menikmati masa berkualiti dengan adik-beradik anda.

4. Jangan malu, bergambarlah puas-puas


Anda sama sekali tidak akan berasa malu untuk selfie di cermin sebelum makan malam apabila anda melaram.

Dan, walaupun anda telah minta mereka ambil 1,005 keping gambar anda di pantai atau setiap kali anda melangkah sebelum ini, anda tidak akan malu untuk meminta mereka mengambil gambar ke 1,006. Suruh saja, anda mungkin nampak menjengkelkan, tetapi adik-beradik tetap adik-beradik.

5. Tiada kekasih, tiada masalah

Yang ini tidak semestinya sesuai setiap masa. Sudah tentu ada yang mahu ditemani kekasih semasa bercuti, tetapi kadang-kadang bercuti tanpa kekasih boleh menjadi satu kelegaan.

Anda tidak perlu fikir beberapa perkara termasuklah menjaga makan minum atau pakaiannya. Anda bebas berpakaian mengikut kesukaan anda atau melakukan apa sahaja aktiviti yang tidak dapat dibuat sebelum ini dengan si dia.

Malah, jika anda perempuan, masalah aurat juga tidak timbul!

6. 'Jururawat' sedia berkhidmat

Jelas sekali sakit sangat digeruni apabila bercuti, tetapi ia boleh berlaku dengan banyak sebab. Anda berada di tempat baharu, mungkin makan makanan baharu, mencuba minuman baharu dan perlu menyesuaikan diri dengan udara baharu.

Jika anda menaiki pesawat, ada mungkin pening atau semput. Siapa lagi orang terbaik yang akan menggosok belakang jika anda muntah atau bergegas mencari ubat jika anda sakit atau menunjukkan reaksi alahan? Bukankah ahli keluarga?

7. Merengek, merungutlah puas-puas

Bila tiba masa untuk pulang ke rumah, perkara pertama dalam fikiran tentunya kemalasan untuk pergi ke pejabat.

Anda boleh merengek, merungut dan mengadu, malah meraung. Mereka akan biarkan saja anda merungut sampai 'lebam'.

Selain itu, anda juga boleh buat lawak bodoh tentang apa yang ada dalam pemikiran anda yang selama ini anda tidak dapat kongsi dengan orang lain.

Percayalah, momen-momen kecil ini akan kekal sesama anda adik-beradik.

8. Lebih rapat, lebih mesra

Anda akan lebih rapat dengan orang yang sememangnya sudah rapat dengan anda. Anda akan lebih kenal hati budi dan tabiat adik-beradik anda. Walaupun tak sependapat, anda akan belajar untuk menyesuaikan diri dengan agenda atau pandangannya.

Percutian dengan mereka sebenarnya adalah belajar tentang kehidupan dan kemahiran hidup di luar rumah. 

Sumber: PopSugar